Malaysia Dateline

Tindakan Trump bertujuan undang keganasan, kehancuran pada negara Islam

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata, perisytiharan yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) mengiktirat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel 7 Disember lalu bertujuan untuk mewujudkan keganasan dan menghancurkan negara-negara Islam.

“Perisytiharan begini satu provokasi melampau bagi mewujudkan lebih banyak lagi kumpulan ala Daesh atau ISIS khususnya di negara Islam yang akan mendakwa diri sebagai pejuang, pembela hak Islam di samping tindakan-tindakan solo individu yang terkesan dengan pengumuman Trump ini.

“Tindakan Trump dan AS sebenarnya propaganda mewujudkan suasana porak poranda dan peperangan di bumi Palastin dan negara Islam yang dilihat oleh kumpulan Daesh atau ISIS sebagai negara dan kerajaan sekutu Amerika.

“Ini mememberi peluang kepada Amerika dan kuasa besar lain untuk campur tangan dalam negara negara Islam,” kata Mahfuz dalam kenyataan medianya yang disiarkan dalam Facebooknya.

Menurut Mahfuz, masyarakat dunia kini telah sedar bahawa apa jua yang berlaku sekarang ini adalah kerana tindakan serta keputusan AS dan sekutunya di samping Isreal itu sendiri yang mengundang kemarahan umat Islam dan masyarakat dunia.

“Cukuplah penajaan Amerika mewujudkan Taliban suatu ketika dahulu, cukuplah penajaan Amerika mewujudkan kumpulan-kumpulan penentang di Iraq dan Syria.

“Cukuplah penajaan Amerika mewujudkan kumpulan-kumpulan penentang di Amerika Latin. Dunia sudah bosan dengan langkah dan keputusan AS yang membuka ruang keganasan dan ekstremisme,” tambah beliau.

Katanya lagi, pengumuman AS berkenaan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel pasti mengundang tindakan luar kawalan umat Islam hatta mengundang meletusnya Perang Dunia ke-3 antara negara-negara Islam dengan Israel, Amerika dan sekutunya.

Mahfuz menyeru rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam supaya bangun menentang perisytiharan tersebut dan mendesak Trump supaya menarik balik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.