Tindakan undang-undang jika pusat gagal salur dana tebatan banjir

Seorang wakil rakyat DAP hari ini mencadangkan tindakan undang-undang diambil ke atas kerajaan persekutuan jika gagal menyalurkan dana projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijanjikan untuk negeri ini.

R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) meminta kerajaan DAP Pulau Pinang mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri untuk mempertimbangkan cadangan itu.

“Jika peruntukan ini tidak disalur dengan segera tindakan guaman perlu dilakukan terhadap kerajaan persekutuan untuk mereka menyalurkan segera peruntukan yang dijanjikan bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini,” katanya ketika mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata kerajaan persekutuan telah menyalurkan sejumlah RM35.59 juta di bawah peruntukan semasa Rancangan Malaysia Kesebelas bagi projek-projek tebatan banjir di negeri ini.

Selain itu, katanya kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM150 juta bagi projek RTB Sungai Pinang yang disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara berperingkat mengikut kemajuan projek yang dijalankan bermula dari tahun ini sehingga 2022.

“Sebanyak RM500,000 daripada siling projek telah disalurkan kepada JPS pada tahun ini bagi melaksanakan kerja-kerja awalan. Jumlah peruntukan yang disebut tadi telah diterima pada tahun ini,” katanya.