Tindakan wakil rakyat Umno keluar parti dilihat penuh keraguan

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar daripada Umno.

Pemuda AMANAH Negeri Perak menerima khabar penyertaan wakil rakyat BN ke dalam Pakatan Harapan (PH) dengan penuh keraguan kerana ia sangat berbeza dengan pendirian mereka sebelum pilihan raya.

Ini ekoran tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar daripada Umno dan mengisytiharkan menjadi seorang wakil rakyat Bebas.

Beliau turut memberi bayangan untuk menyertai parti komponen Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak, Muhammad Faeez Azhar, mereka mengambil serius fenomena keluar parti daripada komponen Barisan Nasional sejurus keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia bukan hanya dari kalangan penyokong serta ahli sebaliknya melibatkan kepimpinan tertinggi dan wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen.

Kemasukan dan sokongan mereka kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan tidak disambut positif oleh rakyat kerana dilihat mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.

Suasana ini berbeza dengan tindakan berani kepimpinan Umno dan BN yang keluar daripada parti sebelum PRU14 dan berjuang bersama pimpinan Pakatan Harapan hingga menatijahkan kemenangan yang diperoleh ketika ini.

Faeez berkata, Pemuda AMANAH melihat tindakan tersebut dengan penuh keraguan kerana semua sedia maklum pendirian, kenyataan dan tindakan beliau sebelum ini langsung tidak mencerminkan beliau seorang pemimpin yang bersama denyut hati nadi rakyat.

Sebelum ini, katanya, beliau lantang menyerang dan mengutuk tindakan Pakatan Harapan memperjuangkan isu-isu rakyat termasuklah mendesak perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang paling lantang dan tegas mempertahankan cukai GST biarpun seperti yang diketahui serta dihadapi oleh rakyat bahawa GST adalah satu cukai yang sangat membebankan kerana menyebabkan rakyat terhimpit dengan kenaikan kos hidup,” kata Faeez.

Antara kenyataan yang Noor Azmi pernah keluarkan di dalam parlimen pada 28 Mei 2015, beliau mendakwa kerajaan tidak paksa rakyat untuk membayar GST.

Katanya jika tidak mahu membayar GST, beliau menggesa rakyat membeli barang yang tidak dikenakan GST.

“Kenyataan tersebut sangat melucukan sedangkan pada hakikatnya, banyak barang keperluan harian tidak terlepas dikenakan cukai yang sangat menjerut ini,” katanya.

Pada 30 Oktober 2017, beliau turut mengeluarkan kenyataan dangkal di dalam parlimen dengan mendakwa GST tidak pernah menyusahkan rakyat sebaliknya pembangkang iaitu Pakatan Harapan pada ketika itu memberi gambaran yang salah pada ketika itu.
Kenyataan tersebut mendapat tentangan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan kerana hakikatnya rakyat khususnya di kawasan Bagan Serai itu sendiri sangat terbeban dengan cukai tersebut, dakwa Faeez.

“Contoh-contoh daripada pelbagai lagi kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Noor Azmi sebelum PRU14 membuktikan beliau bukanlah seorang tokoh yang tidak mempunyai prinsip.

“Tindakan beliau untuk menyokong dan menyertai Pakatan Harapan sangat disyaki mempunyai agenda tertentu, bukan atas dasar kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Lantaran daripada itu, katanya, Pemuda AMANAH Negeri Perak mengingatkan agar mana-mana parti komponen Pakatan Harapan tidak memberi peluang dan ruang kepada pemimpin seperti Noor Azmi ini di dalam parti.

Ini kerana, ia akan memberi impak negatif di mata rakyat dan kesan tidak baik kepada Pakatan Harapan yang mahukan kerajaan yang diberi mandat ini mempunyai integriti dan kualiti.

“Kami berharap parti komponen Pakatan Harapan mempertahankan prinsip dan arahan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mahu parti kerajaan lama yang dipimpin Barisan Nasional mempengaruhi kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

“Ini kerana jelas Tun, rakyat tidak boleh menerima pemimpin-pemimpin seperti ini berada di dalam kerajaan dan oleh yang demikian mereka boleh keluar parti dan menyokong kerajaan tetapi mereka tidak akan jadi parti kerajaan,”katanya.

Kata Faeez, Pemuda AMANAH Negeri Perak yakin, seluruh parti komponen Pakatan Harapan sangat mempertahankan integriti dan kualiti kerajaan baharu ini dan pimpinan yang berkepentingan tidak akan diberi ruang di dalam parti mahupun kerajaan.

“Terima kasih Datuk Dr Noor Azmi Ghazali kerana keluar parti yang sudah ‘busuk’, tetapi kami mohon maaf, kehadiran anda ke dalam Pakatan Harapan tidak dialu-alukan,” katanya.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS