Tinggal pesakit kritikal untuk keluar minum, 2 doktor pakar, pusat bersalin diarah bayar RM6 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan dua doktor meninggalkan pesakit kritikal dalam jagaan jururawat tak berdaftar akhirnya membawa padah apabila pesakit disahkan meninggal dunia akibat pendarahan.

Bukan biasa-biasa, dua doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan itu juga pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin

Dua doktor pakar itu didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal hanya untuk keluar minum.

Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita.

Ini adalah berdasarkan kes kecuaian perubatan hingga menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.

Menurut Berita Harian, Punita, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.

Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa wabita berusia 36 tahun yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.

Walaupun memberi jaminan pesakit itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit.

Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.

Selepas ketiga-tiga jururawat itu tidak berjaya menghentikan pendarahan, mendiang di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

Bagaimanapun dokto HTAR melihat keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan disebabkan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).

Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.

Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.

Dalam pada itu dia juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.

“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.

“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit.

“Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.

Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi:

  • RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati
  • RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati
  • RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya
  • RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi
  • RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya
  • RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.

Baca juga: Pelukis tempatan ‘touch-up’ tugu kucing di Bulatan Padungan, tak tahan direnung mata garang