Malaysia Dateline

Tinggal sehelai sepinggang, rumah kena ‘telan’ lumpur setinggi hampir dua meter

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kejadian banjir di Kampung Belukar Bukit, Ajil di Terengganu pada akhir Februari lalu tentunya pengalaman menyedihkan yang tidak dapat dilupakan buat Endon Ismail, 67.

Mangsa banjir warga emas berkenaan hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah ‘ditelan’ lumpur dalam kejadian bah di daerah itu, 27 Februari lalu.

Endon berkata, tragedi itu menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah selepas hampir tenggelam sepenuhnya manakala bahagian dalam rumah dipenuhi kayu dan lumpur.

Lapor Sinar Harian, beliau bagaimanapun bersyukur kerana tragedi menimpanya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Wakil rakyat itu menyalurkan peruntukan segera RM60,000 bagi membina sebuah rumah baharu.

Tinggal sehelai sepinggang, rumah kena 'telan' lumpur setinggi hampir dua meter
Banjir besar ‘menelan’ rumah warga emas di Kampung Belukar Bukit, Ajil.

“Saya kini hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Syukur sangat sebab keadaan saya mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Terima kasih atas segala jasa dan bantuan yang dihulurkan di saat saya diuji dengan bencana ini. Saya bersyukur dan reda dengan ujian ini walaupun telah kehilangan segalanya,” katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 membina semula rumah Endon yang musnah sepenuhnya akibat bencana itu.