Tinggalkan budaya BN, rakyat mahu pembaharuan menyeluruh

Tinggalkan budaya BN, rakyat mahu pembaharuan menyeluruh

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyeru Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mempertimbangkan keengganannya untuk menyalurkan peruntukan kepada Adun BN yang menjadi pembangkang di negeri itu.

Beliau berkata, generasi muda terutamanya yang telah menyebabkan tsunami rakyat melanda politik negara sekali gus menghumban jauh BN dari pemerintahan negeri dan negara berhasrat untuk melihat budaya politik yang lebih matang dan demokratik.

Menurut pensyarah berkenaan, undian pada PRU-14 lalu bukanlah sekadar menggantikan sebuah parti dengan parti yang lain di tampuk pemerintahan negeri.

Tindakan untuk menghentikan peruntukan kepada Adun pembangkang di negeri Johor, jelasnya, telah diamalkan oleh rejim BN dahulu zaman-berzaman.

“MB Johor perlu meninggalkan budaya BN dan melakukan transformasi di dalam corak pemerintahan negeri Johor demi rakyat negeri Johor.

“Kerajaan negeri Harapan wajib memperkenalkan politik bertaraf kelas dunia yang gentleman,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Maszlee selanjutnya berkata, budaya politik lama BN yang menindas parti pembangkang pada era pentadbiran mereka merupakan amalan yang tidak demokratik, tidak adil dan keji.

“Peruntukan kepada Adun sepatutnya disalurkan kepada Adun tanpa mengira parti kerana mereka telah dipilih oleh rakyat melalui saluran demokratik.

“Rakyat mahukan pembaharuan yang menyeluruh dan bukan sekadar pembaharuan dari segi slogan dan wajah para pemimpin sahaja.

“Jika kita gagal membawa hasrat rakyat, jangan salahkan rakyat jika mereka menghumbankan kita sepertimana mereka telah menghumbankan BN beberapa hari yang lalu,” tambahnya lagi.

Kelmarin, Osman, 67, yang juga Adun Kempas memberitahu tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberi kepada pembangkang negeri itu kerana ia adalah hak kerajaan memerintah.

Ujarnya, tindakan sama itu turut dilakukan Umno-BN terhadap pembangkang ketika mereka memerintah.

Walau bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu beliau telah bercakap dengan Osman supaya memperbetulkan kenyataan berhubung isu peruntukan tersebut.

“Saya dah minta dia betulkan. Pada pandangan saya, sekarang ini kita dah selesai pilihan raya dan rakyat dah buat keputusan.

“Sebagai sebuah kerajaan prihatin dan memahami masalah rakyat, kerajaan Harapan perlu ambil kira kepentingan semua rakyat tak kira ideologi politik.

“Amanah yang diberikan kepada kita sebagai kerajaan negeri hari ini, mesti dijalankan dengan adil dan saksama, termasuk rakyat di kawasan pembangkang,” jelasnya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Rehabilitasi Cheras, semalam.

Kubu kuat Umno di Johor akhirnya roboh pada PRU-14 apabila PH menawan 36 kerusi Dun manakala BN (19) dan Pas hanya satu kerusi.

PH yang sejak sebelum PRU-14 yakin dapat menguasai Johor turut menang besar di 18 kerusi Parlimen berbanding BN cuma lapan kerusi.

7.7
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS