Tinggalkan Pas wujudkan pakatan pembangkang kukuh

Tinggalkan Pas wujudkan pakatan pembangkang kukuh

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, keputusannya menyertai Bersatu memandangkan perlunya satu gabungan blok pembangkang yang kukuh dalam menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, tindakan beliau meninggalkan Pas ekoran keputusan parti lamanya itu yang enggan lagi bersama blok pembangkang sejak ketika dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Sesi 2013 – 2015 itu berpendapat, gabungan parti pembangkang yang mantap penting sebagai langkah paling ampuh seperti terbukti pada keputusan dua siri pilihan raya sebelum ini.

“Tun Mahathir pun pernah kata Perikatan kemudiannya BN nak kata kuat sangat tidaklah kuat sangat tetapi pembangkang tidak pernah berada dalam pakatan yang padu untuk berdepan dengan BN.

“Dalam keadaan rakyat pun sudah rasa kesengsaraan, tekanan hidup disebabkan oleh GST dan wang yang patut dibelanjakan kepada rakyat diputar belit dihilangkan diselewengkan, jadi kita perlu berhadapan dalam pilihan raya ini sebagai satu pakatan yang padu.

“Kita dapat lihat pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13. Kita harus berdepan BN dalam keadaan padu dan kukuh sebegini.

“Kita harus dalam satu kesepakatan yang padu untuk berdepan BN dan ini kita dapat lakukan dalam Pakatan Harapan yang telah ditubuhkan,” ujarnya kelmarin ketika mengumumkan permohonan untuk menjadi ahli Bersatu yang disaksikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Amiruddin yang sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah pada 12 Mei 2016 memberitahu keputusan itu juga hasil perbincangan dengan rakan-rakannya.

“Ini keputusan yang saya buat dengan penuh sedar dengan rundingan bersama kawan-kawan juga di dalam kawasan dan sebagainya.

“InsyaAllah, ini adalah keputusan terbaik yang saya buat untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat yang ada ini yang menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat melalui PPBM yang bersama dengan Pakatan Harapan untuk menentang BN,” jelasnya.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah berkenaan sebelum ini antara pimpinan Pas negeri yang dilihat ‘mesra’ Pakatan Harapan selain Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

Mereka secara terbuka menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan termasuk berceramah di atas pentas anjuran blok pembangkang gabungan AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR itu.

6.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.5
CATEGORIES