Tinggalkan perangai ‘parti lama’ jual terma tanpa pelaksanaan

Tinggalkan perangai ‘parti lama’ jual terma tanpa pelaksanaan

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi mengingatkan anggota parti tersebut agar tidak mengamalkan sikap Pas yang didakwa ‘menjual’ terma Islam tanpa diterjemahkan melalui tindakan.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat apabila slogan berbau Islam diguna pakai tanpa tafsiran menyeluruh sehingga mengundang pertikaian khususnya dari kalangan golongan muda.

“Pas dengan terma-terma tapi terjemahan kepada pelaksanaan tiada. Jual terma-terma Arab dan Islam ini, apa kami (anak muda) dapat?” bidas Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Subang Jaya itu.

Abbas berkata demikian pada Forum Pemuda Hala Tuju Pemuda AMANAH dalam Landskap Malaysia Baharu di Bandar Sri Sendayan, Seremban baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan AMANAH juga memerlukan terma berkaitan Islam tetapi, tegasnya, paling mustahak diberi perhatian adalah dari segi penterjemahan dalam bentuk tindakan.

“Kita ‘jual’ (gagasan) Rahmat Sekalian Alam tetapi rakyat mahu tahu apa pelaksanaan kepada Rahmatan Lil Alamin. Itu paling penting,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan AMANAH perlu meninggalkan perangai dalam ‘parti lama’ yang menjual terma berbau Islam tanpa pelaksanaan.

“Rahmah yang kamu (AMANAH) jual itu apa? Pelaksanaannya di mana? Rakyat mesti merasai terjemahan kepada budaya politik rahmah yang menjadi prinsip parti AMANAH,” katanya.

Abbas yang mengetuai pasukan Pemuda Bangkit sempena pemilihan sayap Pemuda AMANAH Nasional itu turut menegaskan pentingnya parti khususnya sayap pemuda mendekati pengundi 18 tahun menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Pemuda AMANAH mesti mendekatkan diri dengan pergi kepada kumpulan sasaran melalui program-program berkaitan.

“Kita (Pemuda AMANAH) tidak boleh bersikap menunggu ‘pelanggan’ datang. Kita perlu pergi kepada mereka dan meraikan mereka.

“Kita perlu memastikan keberadaan Pemuda AMANAH dengan apa sahaja kaedah dan program supaya dapat kita rapatkan jurang antara kita dengan anak muda,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abbas berkata, Pemuda AMANAH perlu menterjemahkan pendekatan inklusif dan budaya politik rahmah bagi memastikan pengundi 18 tahun merasakan keberadaan parti tersebut.

“Kita sudah katakan pendekatan kita adalah inklusif. Maka, penting pada masa ini untuk kita terjemahkan nilai inklusif ini,” tegasnya.

Pada masa sama, jelasnya, AMANAH juga memerlukan sokongan daripada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing.

“Kalau kita bersendirian, kita tidak kuat. Contohnya, ARMADA (Angkatan Bersatu Anak Muda), diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (juga Menteri Belia dan Sukan).

“Mereka ada kelebihan yang boleh kita manfaatkan bersama atas platform PH untuk (memenangi sokongan) pengundi 18 tahun,” tambahnya lagi.