Malaysia Dateline

Tingkat kesedaran rakyat penting laksana Dasar Kebersihan Negara di Melaka

Kerajaan Negeri Melaka meletak fokus utama meningkatkan kesedaran rakyat tentang kebersihan persekitaran dan kepentingan kitar semula dalam melaksanakan Dasar Kebersihan Negara di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata semua sistem kerja yang dilaksana kerajaan negeri bagi menjaga kebersihan persekitaran tidak akan memberikan kesan optimum sekiranya pendidikan tentang penjagaan persekitaran dan alam sekitar tidak diterapkan dengan baik dalam kalangan rakyat.

“Dalam tempoh jangka panjang, kesedaran dalam kalangan rakyat itu perlu (kita pupuk), di samping kita bina suatu sistem. Namun untuk beri kesedaran itu perlu ada inisiatif, tidak boleh hanya peringatan sahaja semata-mata, itu tidak berkesan.

“Melaka perlu ada inisiatif seperti mana kesedaran komuniti reduce, reuse dan recycle oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).  Insiatif kesedaran ini kita buat bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi mengambil kira pendidikan untuk jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Dasar Kebersihan Negara dilancarkan Ahad lepas di sini dengan lima kluster utama iaitu kesedaran mengenai kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan, dan modal insan berkualiti dan berkemahiran.

Adly berkata amalan menjaga kebersihan perlu diterap sebagai suatu budaya terutama dalam kalangan generasi muda selain menerapkan tingkah laku 5R iaitu rethink (fikir semula)  dan repair (baik pulih) bersama dengan reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula).

“Pembudayaan amalan pengasingan sisa pepejal di punca perlu terus diperkasa dan diadaptasi di seluruh negara termasuk Melaka,” katanya.

Beliau berkata kempen #IniRumahKita yang telah mula dilaksana kerajaan negeri bagi menjaga kebersihan persekitaran dilihat wadah terbaik meningkatkan kesedaran rakyat selaras dengan dasar Kebersihan Negara.

“Kita akan lihat dasar ini dan akan terapkan kepada kempen #IniRumahKita, tahun ini kita mulakan dengan kerja gotong-royong dan Januari tahun depan kita akan ada empat inisiatif baharu dalam kempen #IniRumahKita,” katanya.

Ditanya laporan Bernama pada Ahad lepas memetik Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab sebagai berkata sikap rakyat yang tidak mementingkan kebersihan mendatangkan bencana seperti banjir, Adly berkata kerana itu kesedaran adalah aspek penting.

“Kalau kita lihat (apabila banjir) sistem saliran kita tengok banyak botol minuman dan sampah sarap yang mana ini tidak sepatutnya berlaku jika kita pupuk kesedaran dalam kalangan rakyat. Kerjasama rakyat amat penting dalam isu ini,” katanya.

Atiqah Hasanah Roslee, 44, seorang guru Bahasa Inggeris dari Tehel di sini berkata melalui Dasar Kebersihan Negara semua agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan mempunyai sebuah garis panduan terutama dalam aspek penguatkuasaan dalam menjaga kebersihan negeri ini.

“Saya percaya program kesedaran semata-mata tidak akan berkesan, perlu ada pemantauan dan penguatkuasaan tegas daripada pihak berwajib supaya pusingannya lengkap. Jadi semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama jayakan dasar ini,” katanya.

Muhammad Faiz Daniel Muhammad Hakim, 29, seorang pegawai akaun berkata agensi kerajaan tidak sepatutnya keseorangan dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat tentang kebersihan dan pelaksanaan dasar itu, sebaliknya peranan itu juga perlu dimainkan syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Lebih banyak pihak swasta perlu main peranan buat program CSR (tanggungjawab sosial korporat) tingkat kesedaran kebersihan terutama dalam kalangan pelajar sekolah secara kerap dengan kerjasama NGO. Syarikat swasta buat bersama sekolah di kawasan mereka beroperasi, tidak perlu buat jauh,” katanya dari Bukit Beruang di sini.

— BERNAMA