Malaysia Dateline

Tingkat keupayaan komunikasi, kolaborasi antara Eksekutif dan Legislatif Negara

Pada awal ucapan, saya merakamkan penghargaan kepada YB TS Menteri Wilayah Persekutuan yang telah mengambil inisiatif menganjurkan platform perbincangan di antara kami darihal terkait pengurusan pandemik Covid-19 bagi peringkat Wilayah Persekutuan. Komunikasi dan kolaborasi berkesan adalah sangat penting apatah lagi pada saat negara diancam pandemik seperti Covid-19.

Melalui perbincangan yang berlangsung selama lebih 3 jam pagi tadi, saya telah mencadangkan kepada kerajaan melalui YB TS Menteri Wilayah Persekutuan agar kerajaan lebih memberikan fokus kepada laporan progress angka (sasaran) harian rakyat yang telah menerima suntikan vaksinasi berbanding melapor angka positif Covid-19 yang akhirnya cenderung mencetus suasana panik dan stress yang berlebih-lebihan dalam kalangan rakyat.

Laporan angka harian positif Covid-19 jika pun masih mahu dilaporkan mestilah secara jelas menyatakan status positif tersebut berada pada kategori (Cat) apa, iaitu samada Cat 1, Cat 2, Cat 3, Cat 4 atau Cat 5. Ini penting bagi memastikan kita dan masyarakat umum diberikan gambaran sebenar dan seimbang tentang laporan angka harian tersebut dan tidak mengambil apa sahaja reaksi secara berlebihan, termasuk yang akhirnya memberi tekanan mental dan emosi pada diri masing-masing.

Saya telah pernah menekankan agar kerajaan jangan sama sekali menjadikan angka-angka ini sebagai strategi “to instill fear” sebagai satu cara menjustifikasi permohonan Darurat sebelum ini, kerana implikasi burukya bukan sedikit.

Nah, ternyata kini, ia menjadi kenyataan, dan jika tidak diuruskan dengan sebaiknya ia akan mencetuskan panik dan stress yang bukan kepalang di kalangan rakyat jelata. Saya sendiri telah menerima panggilan dan mesej pertanyaan bukan sedikit daripada kalangan rakan2 rakyat kita di bawah yang kegusaran. Ini jujurnya sangat tidak baik untuk kesihatan emosi dan mental mereka.

Semua pihak seharusnya sejak tahun lepas sudah boleh belajar menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 adalah “real”, kesan sekiranya mengabaikan Disiplin SOP juga adalah “real”, dan Covid-19 kini sudah berada dalam komuniti kita.

Di sana perlu ada keseimbangan di antara usaha memastikan kelangsungan hidup yang terkait dengan strategi penjanaan ekonomi negara dan setiap rakyat, dan juga strategi menjaga keselamatan nyawa serta akhirnya tawakkal kepada AlLah. Kesedaran dan kebijaksanaan setiap orang/ pihak adalah diperlukan untuk kepentingan semua kerana kita berkongsi negara dan dunia yang sama.

Selain terus memastikan kapasiti vaksinasi negara berada pada tahap optima dengan bekalan vaksin yang cukup, saya turut menyarankan agar kerajaan memberikan fokus kepada usaha advokasi darihal amalan Disiplin SOP bagi membolehkan kita semua dapat hidup bersama Covid-19 sehinggalah negara mencapai “herd imunity” yang dijangka dipenuhi pada November 2021.

YB TS Menteri Wilayah Persekutuan tadi memaklumkan bahawa Wilayah Persekutuan akan mencapai “herd imuniti” 80% pada minggu kedua atau ketiga bulan Ogos tahun ini. Untuk ini, saya ucapkan syabas kepada YB Menteri dan saya mendoakan ia dapat sama2 kita realisasikan dengan kerjasama yg akan kita semua gerakkan sepertimana yang diharapkan serta “dijanjikan” oleh YB Menteri tadi – tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik kepartaian.

Dalam konteks advokasi, saya turut menekankan betapa untuk mengajak rakyat bersama mengamalkan Disiplin SOP ini secara sukarela, apa yg penting adalah pendidikan, asuhan dan bimbingan yang melahirkan kesedaran, kebersamaan serta kesefahaman semua pihak, bukan sebaliknya ugutan, ancaman dan tekanan undang2 (sepertimana yang dilaung2kan oleh Menteri Dalam Negeri), kerana kebanyakan rakyat dan kita semua telah cukup tertekan dan terkesan akibat daripada badaian pandemik Covid-19.

Kerajaan tidak perlu melakukan sesuatu yang akhirnya mencetuskan suasana rebel (memberontak) rakyat pada masa semua pihak sudah cukup tertekan dengan apa yg dianggap sebagai kegagalan kerajaan.

Semua pihak perlu bekerjasama atas semangat kebersamaan untuk memastikan negara dan kita semua dapat keluar daripada impak dan kitaran ganas pandemik Covid-19.

Kepada AlLah jua bertumpu segala Do’a, Usaha dan Tawakkal kita.

 

Penulis merupakan Senator Dewan Negara