Malaysia Dateline

Tingkat usaha diplomasi pertahanan untuk jamin keamanan negara

Diplomasi pertahanan antara negara-negara Asean terus dititikberatkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang disifatkannya sebagai medan bagi memartabatkan lagi kedudukan Malaysia.

Malah katanya dalam Bicara Naratif di TV1 semalam, diplomasi berkenaan seiring dengan seruan Perdana Menteri yang tidak mahu Malaysia terlibat dalam peperangan dengan negara lain.

Menurut Mohamad, hubungan di kalangan negara Asean dapat diperkukuh menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus yang merupakan mesyuarat antara negara-negara Asean dengan negara-negara lain.

“Bagi kita, paling utama adalah diplomasi pertahanan. Kita meletakkan negara kita tidak mahu berperang dengan sesiapa, tetapi kesediaan dan kesiapsiagaan tentera itu mesti ada di peringkat Asean.

“Kita selalu hadir mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus di mana kita sentiasa berdialog dan berbincang supaya kita dapat pertahankan kedaulatan negara masing-masing dan tidak berlaku sebarang pemberontakan atau pertelingkahan persenjataan khasnya di laut China Selatan.

“Kalau berlaku sebarang pertelingkahan di Laut China Selatan, maka bukan sahaja ekonomi di rantau ini yang tergugat, tapi ekonomi dunia akan turut terjejas. Ini kerana kita tahu Laut China Selatan khasnya Laut Selat Melaka menjadi laluan dagangan utama,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh tentang kedudukan Malaysia yang dikategorikan sebagai negara yang Ke-16 paling aman di dunia menerusi Laporan Indeks Keamanan Global (GPI).

Ia sekaligus menjadikan Malaysia berada di kedudukan ketiga di peringkat Asia selepas Singapura dan Jepun, dan di tempat pertama negara paling aman di kalangan negara- negara Islam.

Beliau berkata, ia merupakan satu peningkatan yang memberangsangkan dan memberikan gambaran peningkatan tahap keselamatan dan penurunan ancaman dalaman dan luaran terhadap keamanan dan kedaulatan negara.

“Peningkatan indeks keamanan ini berkait rapat dengan peningkatan usaha kita melaksanakan diplomasi pertahanan dengan negara- negara jiran dan kuasa-kuasa besar dan juga peranan bersama semua pihak di pelbagai kementerian dalam kerajaan dan luar kerajaan,” katanya.