Malaysia Dateline

Tingkatkan pembangunan sosial di Kukup, kata Suhaizan

Melihat persekitaran yang semakin mencabar kini, kawasan seperti di Kukup memerlukan suatu anjakan bagi pembangunan sosial setempat yang lebih berstruktur perlu dilakukan.

Pandangan itu telah disambut oleh Speaker Dewan Negeri (Dun) Johor, Suhaizan Kaiat yang menyatakan hasrat meningkatkan pembangunan sosial di kawasan Kukup.

Perkara itu dijelaskan sewaktu beliau menghadiri ceramah perdana di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup Pontian anjuran Malakoff yang mengundang penceramah terkenal Ustaz Ebit Lew.

“Penerapan Islam perlu dijalankan di daerah Kukup ini dan program seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi mendekatkan golongan masyarakat Kukup terhadap akhlak Islam.

“Kerangka untuk menggalakkan anak muda khususnya kepada pembangunan sosial akan dipertingkatkan.

“Perkara ini baik untuk menjadikan manusia mampu berdaya saing dengan ilmu dan akhlak yang terpuji,” ujarnya.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Johor berkata, susunan program seperti yang berlangsung di SMK Sri Kukup itu akan cuba dipertimbangkan untuk diperbanyakkan lagi.

Selain itu pendekatan secara lahiriah seperti hiburan berkonsepkan motivasi akan cuba dinilai semula untuk dibawa bersama-sama sebagai tarikan kepada masyarakat di Kukup.

“Selain program berbentuk ceramah kita juga akan pertimbangkan untuk memasukkan unsur-unsur dakwah secara kreatif bagi mendekatkan diri masyarakat kepada pembangunan sosial.

“Kita juga akan mencungkil bakat-bakat yang selama ini ada di kawasan ini untuk diketengahkan serta menjadi suatu dorongan kepada penduduk di Kukup,” ujarnya.

Program tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran yang mencecah lebih 1000 pengunjung.