Malaysia Dateline

Tingkatkan peranan wanita dalam usahawan dan koperasi, kata menteri

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan menyokong penglibatan wanita khasnya dalam bidang koperasi dan keusahawanan dan seterusnya meningkatkan lagi peranan wanita menerusi kementerian itu, kata menterinya Tan Sri Noh Omar.

“Wanita memainkan peranan yang besar dalam memartabatkan bangsa.

“Peranan wanita sebagai tulang belakang dalam menyumbang dan membangunkan masyarakat dan negara tidak
dapat dinafikan baik dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan juga sosial.

“Di sebalik kelembutan wanita tersirat ketabahan yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan keharmonian negara,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.

Justeru, Medac berpandangan peranan usahawan dan koperasi wanita adalah penting dalam membangunkan keluarga usahawan di negara kita ini.

Justeru itu, Medac semalam melancarkan program eBizNita sebagai bukti bahawa kementerian itu juga mengiktiraf usahawan wanita.

Noh ketika berucap melancarkan eBizNita semalam berkata, wanita adalah tonggak kestabilan sosial serta ekonomi.

“Saya percaya wanita sebagai tonggak kepada kestabilan sosial serta ekonomi negara dapat membantu agenda Kementerian untuk melahirkan ‘Bangsa Usahawan’, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Melalui kerjasama pelbagai institusi dan agensi khususnya di bawah MEDAC serta sokongan padu daripada
koperasi dan usahawan wanita saya yakin hasrat kita untuk melahirkan ‘Bangsa Usahawan’ akan tercapai,” kata Noh dalam ucapan itu.

Menurut beliau, e-BizNITA merupakan program yang julung kali diadakan oleh Medac bagi memperluaskan dan memacu aktiviti perniagaan koperasi dan usahawan wanita bagi mendepani cabaran persekitaran ekonomi yang dinamik berikutan penularan Covid-19.

Ia merupakan salah satu intervensi untuk menggalakkan penglibatan usahawan dan koperasi wanita dalam pelbagai aktiviti keusahawanan temasuklah memperluaskan jangkau pasaran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan secara dalam talian.

Kaedah ini juga, katanya, mendatangkan banyak kelebihan serta membawa keuntungan sekaligus memastikan kelangsungan dan survivaliti perniagaan dalam menjalani norma baharu pasca Covid-19 berbanding kaedah jualan secara tradisional.

Dengan pelaksanaan e-BizNITA, Medac yakin ia dapat meningkatkan pendapatan usahawan dan koperasi wanita dalam aktiviti ekonomi dan berpotensi bagi mencapai sasaran pendapatan kepada koperasi bernilai RM100 bilion menjelang tahun 2030 selaras dengan DKN 2030 yang dibangunkan oleh Medac, kata beliau.

Tambahan pula, katanya, pelaksanaan program e-BizNITA ini juga adalah elari dengan hasrat Kerajaan dalam memperkasakan usahawan wanita bagi menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian.