Malaysia Dateline

Tingkatkan usaha agar rakyat Malaysia terus sokong DAP, PH

DAP dan Pakatan Harapan perlu bekerja keras untuk memastikan rakyat Malaysia terus menyokong parti itu serta gabungan berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang ke arah menjayakan usaha mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bersatu padu, kata Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

“Kita perlu berusaha lebih gigih untuk menjadikannya satu kenyataan, bahawa dalam pilihan raya umum akan datang, rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan padu mereka kepada DAP serta Pakatan Harapan untuk meneruskan usaha murni kita dalam menjadikan negara kita sebuah negara hebat yang bersatu padu,” katanya.

Tan, yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, mereka perlu menerima kritikan dan bersikap terbuka terhadap kesemua teguran rakyat.

“Apa yang tidak baik dianggap oleh rakyat kita harus betulkan, (manakala) apa yang dipuji rakyat kita harus tingkatkan lagi prestasi kita.

“Tiada benda (perkara) lain yang boleh ganti kerja keras untuk negara. Ini tugas DAP dan semua (parti) komponen PH untuk pastikan Malaysia mara ke hadapan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ahad.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tan juga meminta DAP memberi tumpuan khusus kepada pengundi muda supaya parti itu dikenali dan diterima oleh golongan tersebut.

“Saya berpendapat kita perlu memulakan usaha khusus untuk memberi tumpuan kepada pengundi muda. Kita mesti memenuhi aspirasi pengundi muda sebab mereka akan menjadi kumpulan pengundi utama dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

— BERNAMA