Tinjauan: 90 peratus peniaga sudah mula penuhi tapak Bazar Ramadan Jalan Raja

Tinjauan: 90 peratus peniaga sudah mula penuhi tapak Bazar Ramadan Jalan Raja

Majoriti peniaga sudah mula memenuhi tapak bazar Ramadan di Jalan Raja setelah memasuki hari ketiga pengoperasiannya di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang bermula pada Isnin lepas.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati hampir 90 peratus tapak khemah sudah dibuka dengan kehadiran jumlah pengunjung yang dilihat merancakkan lagi suasana bazar Ramadan, di mana ia berbeza pada hari pertama tinjauan pembukaan tapak perniagaan di situ.

Sebelum ini, Malaysia Dateline dan beberapa media melaporkan bahawa tiada sambutan pengunjung dan juga peniaga di tapak baharu bazar Ramadan Jalan Raja bagi menggantikan tapak lama di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Sehubungan itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa mengeluarkan kenyataan bahawa kegagalan para peniaga memulakan perniagaan dalam tempoh tiga hari akan menyebabkan tapak tersebut ditarik balik dan senarai nama mereka akan disenarai hitamkan.

Manakala Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Wilayah Zulhazmi Shariff yang turun padang meninjau operasi Bazar Ramadan itu menjelaskan 344 bazar yang disediakan di Jalan Raja hanya bagi jualan pakaian dan barangan keperluan seumpamanya untuk menyambut hari raya bukan menjual juadah berbuka puasa kepada pengunjung.

Baca: Tempoh tiga hari

Baca: Bazar Ramadan persiapan syawal

Bazar Ramadan Kuala Lumpur di Jalan Raja pada hari ketiga sudah dipenuhi peniaga-peniaga yang mula memasuki 344 tapak perniagaan yang disediakan leh DBKL,

Seorang peniaga tudung, Nur Aina Amira Aziz, berkata, sememangnya beliau sedia maklum tentang pengumuman DBKL mengenai penarikan tapak jika peniaga tidak berniaga dalam tempoh yang ditetapkan.

“Semalam DBKL memang ada maklumkan pada kami tentang notis tersebut. Jadi, nak tak nak kita terpaksa juga buka. Lagi pula, dua hari sebelum ini kami gunakan masa itu untuk berbuka dan berterawih bersama keluarga.

“Tiada maksud untuk tidak buka tapak sebab saya tahu pengunjung pada hari pertama juga kurang. Stok barang juga baru sahaja sampai,”katanya.

Manakala peniaga baju raya yang mahu  dikenali sebagai Asma, berkata, faktor kelewatan membuka tapak bazar kerana mencari kanopi yang bersesuaian dengan piawaian ditetapkan pihak DBKL.

“Saya tahu tentang notis terbaru DBKL tapi saya bukan suka-suka tak buka. Saya ambil masa untuk cari kanopi yang ikut ukuran betul. Saya perlukan kanopi keluasan 6X10. Kebanyakan kedai hanya menjual 6X6 dan 8X8. Sebab itu buka lambat. Tapi malam ni dah boleh buka sepenuhnya,”katanya.

Peniaga baju raya lelaki, Azrin Abdul Rahman,  berkata, faktor yang menyebabkan majoriti peniaga beroperasi hanya pada hari kedua dan ketiga bukan disebabkan mogok terhadap mana-mana pihak.

Malah, katanya, para peniaga sudah terbiasa dengan keadaan di Masjid India dan Jalan TAR sehingga terbawa-bawa dengan perasaan tidak biasa dengan perubahan yang dilakukan.

“Setakat hari ini, Alhamdulillah pengunjung sangat ramai apabila tiba waktu malam. Saya dapat menarik nafas lega apabila pada hari kedua sahaja, pengunjung sudah memenuhi seluruh ruang khemah.

“Saya berharap pihak DBKL dapat menimbang semula untuk menyediakan Foodtruck demi memudahkan para peniaga dan pengunjung mencari makanan juadah berbuka. Dengan adanya sekurang-kurangnya 50 buah Foodtruck, saya yakin peniaga-peniaga lain juga dapat tingkatkan hasil jualan perniagaan mereka,”ujarnya.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Mohd Zaideey Mohd Noor, berkata, kebanyakan peniaga yang dilihatnya adalah muka-muka baru dan mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan yang ingin memastikan semua peniaga mendapat peluang sama rata mendapatkan tapak berniaga.

“Sekarang kebanyakan peniaga tidak lagi bergerak di bawah mana-mana persatuan. Sekarang kita semua sudah beralih kepada permohonan tapak secara online. Saya yakin kerajaan melakukan ini kerana nak banteras habis-habisan isu pihak tidak bertanggungjawab menjual tapak dengan harga melampau.

“Setakat hari ketiga, memang ramai pengunjung yang datang. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Saya sebagai peniaga sangat lega melihat sambutan pengunjung. Cuma masih juga ada kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Sebelum ini, kami berniaga ditapak yang dikelilingi pusat beli-belah yang memudahkan peniaga menunaikan solat, kemudahan parkir dan gerai-gerai menjual makanan basah,” katanya.

Baca: Pengunjung puas hati

Peniaga Melayu Bijak Rebut Peluang

Menariknya, tinjauan mendapati ketiadaan khemah makanan basah yang menjadi kebimbangan utama para peniaga, telah mencetuskan inisiatif dari peniaga makanan yang mengambil peluang untuk menjual makanan yang siap dibungkus dari gerai ke gerai.

Malaysia Dateline mendekati para penjaja yang dilihat bergerak dari gerai ke gerai sambil melakukan promosi tentang menu makanan dan berkongsi nombor telefon untuk dihubungi.

Soleha Zainal Husin

Peniaga Nasi Ayam Goreng Kunyit Warisan Opah, Soleha Zainal Husin, memaklumkan bahawa ini merupakan hari pertama beliau membuat promosi menyediakan perkhidmatan mengambil pesanan dan menjual makanan dari gerai ke gerai.

“Hari ini hari pertama promosi kami. Sambutan sangat menggalakkan dari para peniaga disini. Buat permulaan kami bawa 10 bungkus. Kami jual nasi ayam goreng kunyit dengan harga RM6 dan nasi daging goreng kunyit berharga RM7.

“Kami lihat ini sebagai peluang yang sangat baik untuk kami dapatkan wang tambahan. Walaupun tiada ‘port’ makanan basah, kami anggap ini peluang terbaik untuk menyelit dan memperkenalkan perkhidmatan kami disini,” katanya.

Ia turut diakui oleh Zaideey yang memuji inisiatif peniaga Melayu yang cepat merebut peluang tatkala ramai mula mengeluh perlu berjalan jauh meninggalkan gerai dan mencari makanan.

“Selepas ini Foodpanda, Grabfood dan semua perkhidmatan penghantaran makanan boleh menambah sumber rezeki mereka disini. Pasti ramai yang akan menggunakan perkhidmatan mereka. Saya menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat seiring dengan kemeriahan dan kerancakan di suasana baru,”katanya.

Tinjauan hari ketiga turut mendapati, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  sudah menyediakan beberapa plastik sampah dan tong sampah yang diletakkan di beberapa laluan pengunjung untuk memaksimakan kebersihan dan meminimumkan sampah yang dibuang merata-rata.

Tong sampah disediakan bagi memudahkan pengunjung dan peniagaa menjaga kebersihaan di kawsan tapak perniagaan.