Malaysia Dateline

Tinjauan: Banyak pilihan punca makanan terbuang

Pengagihan ‘menu wajib’ seperti nasi yang disalurkan kepada golongan gelandangan terutamanya di sekitar Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur, menyebabkan mereka sudah tidak tertarik lagi untuk menjamah makanan itu.

Menerusi pemerhatian wartawan baru-baru ini di lokasi gelandangan berdekatan Kolej Segi, Jalan Hang Lekiu, mereka berlari memburu makanan seolah-olah berada dalam keadaan yang sangat lapar walaupun bonet kereta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan belum dibuka sepenuhnya.

Namun gelagat mereka terbongkar apabila wartawan ternampak salah seorang gelandangan memegang dua beg plastik berwarna kuning (kiri dan kanan tangan) sambil bergelak ketawa bersama rakannya selepas mengambil makanan yang diagihkan.

Lebih memeranjatkan, apabila didekati, wartawan melihat terdapat empat jenis nasi di dalam beg plastik tersebut, menggambarkan dia sanggup beratur panjang setiap kali NGO tiba untuk memberikan makanan.

Jalan Hang Lekiu menjadi lokasi gelandangan berkumpul

Malah, dengan riak bersahaja tanpa menunjukkan dia berada dalam keadaan lapar, gelandangan itu mengakui makanan tersebut memang diambil setiap kali NGO datang dan akan dibawa pulang ke rumahnya di Setapak.

Bagi mendapatkan penjelasan yang lebih konkrit, wartawan cuba mendekati beberapa golongan gelandangan bagi membongkar sejauh mana ‘lebihan’ makanan yang diberikan kepada mereka.

Noriah

Gelandangan dari Johor Bahru, Noriah, 56, mendedahkan, mereka telah menerima makanan dalam kuantiti yang banyak daripada NGO dan juga badan sukarelawan.

“Kami memang mewah di sini, makan nasi beriani, KFC, bubur lambuk dan sate.. setiap tiga kali sehari memang kami akan dapat makan..

“Kami dapat makanan dari jam 4 petang.. ada juga kami dapat dari jam 10 malam sampai lah ke 4 pagi.. macam-macam NGO yang datang bagi bantuan.

“Memang kenyang sangat duduk sini.. duduk je orang datang bagi makanan, duduk je sukarelawan lain datang lagi.. sampai dah tak termakan apa yang mereka bagi,” katanya.

Seorang lagi gelandangan, Chia, 40, pula berkata bantuan makanan yang mereka dapat pada setiap malam terlalu banyak.

“Kita manusia.. makan satu bungkus saja sudah kenyang.. bila ada makanan banyak, buang macam itu saja atau letak tepi kaki lima.

“Kalau satu atau dua bungkus, OK lah boleh makan lagi.. nak simpan pun banyak-banyak pun, nanti basi.. nak bagi kawan lain, mereka pun sudah kenyang,” katanya.

Susulan daripada lebihan makanan yang disalurkan, baru-baru ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mencadangkan supaya NGO menyelaraskan aktiviti berbentuk bantuan demi mengelakkan pembaziran.

Nadzim memberitahu, beliau pernah melihat kadangkala makanan yang dihantar kepada golongan gelandangan terlalu banyak, sehingga banyak yang tersisa, sekali gus mendorong NGO perlu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum agihan dilakukan.

Makanan yang tidak habis dimakan ditinggalkan begitu sahaja tanpa dibuang di dalam tong sampah