Tinjauan: Dua pasar basah pamer harga berbeza

Tinjauan: Dua pasar basah pamer harga berbeza

Sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha esok, ramai masyarakat dilihat sibuk membuat persiapan seperti membeli daging lembu, ayam dan bahan mentah yang akan menjadi juadah pada keesokan harinya.

Harga bahan mentah di Pasar Borong Selayang.

Tinjauan Malaysia Dateline di dua buah pasar basah terkemuka, iaitu Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit mendapati, sedikit perbezaan dapat dilihat dari segi harga bahan mentah yang popular, iaitu ayam dan daging lembu yang dijual di situ.

Harga ayam jenis biasa di Pasar Borong Selayang dijual pada kadar RM7.30 hingga RM7.50 sekilogram, manakala di Pasar Chow Kit pula, ayam (biasa) dijual dengan harga RM8. sekilogram.

Di Pasar Borong Selayang, harga bagi daging lembu import adalah sekitar RM17 sekilogram, manakala di Pasar Chow Kit pula, ia dijual dengan harga RM20 sekilogram.

Daging lembu yang dijual di Pasar Chow Kit.

Peniaga ayam di Pasar Chow Kit yang enggan dikenali berkata, kadar RM8 adalah harga biasa yang dijual kepada orang ramai seperti sebelum-sebelum ini.

“Walaupun esok Raya Aidiladha, kami tetap jual ayam dengan harga biasa, memang tak ada nak ambil kesempatan,” katanya ringkas.

Pengunjung Pasar Chow Kit, hanya mahu dikenali sebagai Amy, 47, berkata harga bahan mentah yang dijual di situ sedikit tinggi berbanding di tempat lain.

“Saya tengok harga ayam dan daging lembu di sini tidak sama seperti di Pasar Keramat. Selain pasar ini (Chow Kit), saya juga membeli barangan di Pasar Keramat,” katanya.

Pengunjung, Abdul Manaf Saad.

Pengunjung di Pasar Borong Selayang, Abdul Manaf Saad, 67, pula berpendapat, harga ayam dan daging yang dijual di situ, adalah munasabah dan tidak terlalu mahal.

“Harga kedua-dua bahan mentah itu saya lihat ianya masih lagi berpatutan. Walaupun esok raya, peniaga tetap meletakkan kadar harga yang masuk akal,” katanya.