Malaysia Dateline

Tinjauan: Hari pertama Bazaar Ramadan Jalan Raja beroperasi kurang peniaga, pengunjung

Bazaar Ramadan Jalan Raja tapak baharu yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat kurang mendapat sambutan pada hari pertama sambutan Ramadan semalam.

Majoriti peniaga bazaar ramadhan mengakui tapak baharu yang dipindahkan ke Jalan Raja masih baru dan kurang mendapat sambutan pengunjung pada hari pertama operasi kerana warga kota sinonim dengan bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan di Jalan Masjid India.

Shahrul Nizam Shahrudin

Tinjauan Malaysia Dateline pada Isnin mendapati tidak lebih 40 buah gerai sahaja dibuka pada hari pertama bazaar tersebut beroperasi di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad setelah dipindahkan dari Jalan TAR.

Situasi ini agak mengejutkan jika dibandingkan dengan situasi sama pada tahun-tahun sebelumnya (iaitu pada 1 Ramadan) di Jalan Tar dan Jalan Masjid India yang telah mula meriah dengan peniaga yang menawarkan pelbagai kelengkapan menjelang Aidilfitri.

Kelainannya kali ini, tinjauan mendapati tiada makanan basah dan aneka kuih yang dijual di bazar Ramadan Jalan Raja untuk tahun ini berikutan tapak berkenaan beroperasi di kawasan bersejarah dan keperluan untuk menjaga kawasan itu dari dicemari sisa sampah.

Suasana itu membimbangkan rata-rata peniaga yang turut diakui oleh salah seorang peniaga baju kanak-kanak, Shahrul Nizam Shahrudin, yang berpengalaman berniaga lebih 10 tahun di Kuala Lumpur.

“Seawal jam 11 pagi saya buka kedai, masih tiada lagi jualan, berbeza dengan hari pertama sebelum ini yang kebiasaannya jualan saya boleh mencapai ratusan ringgit

Tuan Abduh Tuan Junoh

“Walaupun tempat selesa tapi tak ada orang, itu merisaukan juga. Makanan basah sepatutnya dijual kerana itu lah yang sebenarnya dapat menarik lebih banyak pengunjung,”katanya.

Peniaga tudung, Tuan Abduh Tuan Junoh yang juga beroperasi seawal jam 11 pagi, berkata, sekurang-kurangnya seminggu masa diperlukan untuk pengunjung memenuhi gerai-gerai yang beroperasi di bazar itu.

“Dari pagi saya hanya lihat pelancong sahaja, itu pun mereka datang tengok-tengok. Saya agak tahun ni mungkin jualan akan kurang kerana kebanyakan pengunjung yang datang semua mencari makanan berbuka puasa.

“Saya akan tengok dalam seminggu dua ini macam mana. Saya harap ramai lah pengunjung nanti. Tahun ni kalau dilihat dari segi khemah dan penyusunan gerai, ia lebih sistematik tapi yang membimbangkan peniaga adalah jualan kerana tidak pernah lagi hari pertama masih tiada jualan,”katanya.

Rema Manaf

Peniaga makanan sunnah dan kurma, Rema Manaf yang sudah berniaga lebih 15 tahun, berkata, kaunter untuk pelancong perlu diwujudkan supaya ada pihak yang boleh membuat promosi kepada pelancong sekaligus melariskan jualan para peniaga.

“Ini kali pertama saya lihat pelancong datang mengunjungi bazar Ramadan. Jadi saya rasa perlu ada kaunter yang bantu menjelaskan pada pelancong tentang makanan sunnah, dan kuih raya yang dijual disini. Ajar mereka cuba makanan tempatan.

“Bila mereka tahu, mereka mungkin berminat untuk beli. Lagi pula disini semua jual barangan raya, kita tak boleh harap mereka tengok dan terus beli,” katanya yang memaklumkan berjaya membuat jualan sebanyak RM50 pada hari pertama berniaga.

Manakala peniaga kuih raya, Muhammad Amirul Husni Muhammad Yusof, berkata, beliau berjaya menjual lebih 10 pek kerepek dan kuih yang mencapai sehingga RM 200 hanya pada hari pertama jualan.

“Keadaan disini lebih baik dari Jalan TAR kerana lebih luas dan pengunjung pun senang berjalan. Kami juga senang berniaga kerana kebersihan terjaga. Cuma masih kekok lagi kerana keluasannya sangat besar dan kami masih tak tahu bagaimana nak ‘set up’ kedai.

Muhammad Amirul Husni Muhammad Yusof

“Sambutan kuih raya juga sangat baik, tiada perbezaan dengan jualan di Jalan TAR mahupun di sini. Rakan saya yang berniaga kuih juga sudah mendapat hampir RM500 hari ini,” ujarnya yang membuka gerai seawal jam 10 pagi.

Kami turut mendekati beberapa peniaga pakaian yang rata-ratanya memberi maklum balas bahawa kebimbangan mereka terhadap jualan hari pertama dilihat tidak berapa baik.

Ada yang beroperasi seawal Jam 6 pagi namun masih tiada satu jualan dapat dilakukan dan berharap bilangan pengunjung akan terus meningkat kerana lokasi strategik bazar tersebut seharusnya menarik lebih ramai pengunjung.

Sementara itu, penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa sebanyak 344 petak disediakan DBKL kepada peniaga membabitkan lima kategori jualan yang dibenarkan antaranya pakaian, barangan serta peralatan kering, makanan kering berbungkus, perhiasan dan aksesori diri serta perhiasan dan aksesori rumah.

Menurutnya, larangan menjual barangan basah juga kerana perlu menjaga tapak bersejarah berkenaan dari dicemari sisa makanan yang bersepah dan minyak-minyak yang kemungkinan akan dibuang di Jalan dan mengotorkan kawasan tersebut kelak.

Suasana malam di Bazaar Ramadan Jalan Raja yang tiada sambutan pengunjung dan masih ramai peniaga belum lagi memulakan perniagaan di tapak baharu yang disediakan DBKL pada tahun ini.