Tinjauan: Jam Matahari pertama di dunia mempunyai kod pengesanan QR di Kompleks TH

Tinjauan: Jam Matahari pertama di dunia mempunyai kod pengesanan QR di Kompleks TH
Jam Matahari pertama di dunia yang mengunakan kod pengesanan QR kini yang boleh dilawati di Kompleks Tabung Haji Sepang.- Foto website Kompleks Tabng Haji.

Jam Matahari atau Mizwalah ternyata masih digunakan sehingga ke hari ini di mana salah satu binaannya boleh dianggap sebagai mercu tanda baharu, terletak di Kompleks Tabung Haji, Sepang.

Menariknya, binaan falak ini menggunakan gabungan huruf Jawi ‘Ta’ dan ‘Ha’ yang mengekalkan identiti Tabung Haji disamping sebagai satu inovatif meneruskan tradisi sains Islam sejak zaman kuno sebelum kemunculan jam mekanikal.

Yang Dipertua Persatuan Falak Syari’ Malaysia (PFSM), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata, Jam Matahari ini dibina sebagai peralatan yang mesra alam kerana sifatnya yang dikuasai Suria selain hampir tidak memerlukan penyelengaraan.

Malah katanya, alat pengukur masa ini boleh terus menjadi tumpuan terutama bagi orang ramai yang mengunjungi Kompleks Tabung Haji atau masjid di kawasan kompleks berkenaan.

“Jam Matahari ini mempunyai dua waktu yang diukur mengikut piawaian waktu Malaysia dan waktu di negara Arab yang bermula seawal jam 9 pagi sehingga 5 petang.

“Setiap Jubin mozek (mozek berbentuk kecil) memberi ukuran masa sebanyak dua minit. Ini bermakna, setiap bayang yang jatuh di atas satu jubin kecil, berdurasi selama dua minit.

“Satu keistimewaan Jam Matahari ini juga kita sediakan penunjuk kepada lima waktu solat yang ditandakan dengan garisan berwarna hijau. Apabila bayang jarum jatuh pada pukul 8.30 pagi (iaitu di garisan hijau pertama pada Jubin), ia bermaksud dua jam setengah selepas waktu Fajar,”katanya.

Rujuk gambar yang disertakan :

b) 2 jam selepas Syuruk
c) Zohor
d) Asar
e) 2 jam sebelum masuk waktu Maghrib
f) 2 jam setengah sebelum Isyak.

Tambahnya, permukaan jam yang sedikit melengkung dengan tanda penyukat masa dan tiang kecil di tengahnya membolehkan bayang matahari mengenai pada sukatan bagi memberikan masa sebenar.

Lebih menarik, Jam Matahari yang dibina ini disediakan dengan QR kod yang membolehkan para jemaah melayari terus laman web Mizwalah Ta Ha untuk mengetahui lanjut mengenai Jam Matahari ini.

“Ini merupakan Jam Matahari pertama di dunia yang mempunyai kod pengesanan atau QR kod yang akan memudahkan jemaah melayari terus ke laman sesawang Tabung Haji mengenai Mizwalah.

“Kami juga menggunakan tarikh Shamsiah (Januari hingga Disember) yang lebih moden untuk difahami yang berbeza dengan Jam Matahari pada pertengahan tahun Islam di mana masyarakat Islam menggunakan taqwim Hijri sebagai panduan tarikh kalendar mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pembinaan jam matahari ini turut melibatkan gabungan usaha dua ahli dalam persatuan Falak Syari’, iaitu Ahmad Zaki Ahmad Fakri sebagai Pereka Perindustrian, dan Ahmad Fakri Sha’ari, Jurutera Mekanikal.

Beliau berkata, hasil kerjasama dua ahlinya berjaya menghasilkan satu lagi lambang yang dianggap sebagai mercu tanda Tabung Haji yang bukan sekadar mercu tanda baru semata-mata tetapi turut memberikan fungsi dan manfaat.

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, (tengah) bergambar di sisi Jam Matahari bersama Ahmad Zaki Ahmad Fikri dan Ahmad Fakri Shaari yang merialisasikan pembinaan Jam Matahari yang menjadi mercu tanda di Kompleks Tabung Haji Sepang.- Foto Syafiq Iskandar.

Kepentingan Ilmu Falak untuk Umat Islam

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan Ilmu Falak untuk umat Islam dalam menepati waktu yang di kira sebagai terpenting dalam rukun Islam.

“Melihat kiraan masa itu begitu penting untuk umat Islam di mana empat daripada lima rukun Islam atau 80 peratus tertakluk kepada waktu, kiraan masa dan tidak akan sempurna jika masanya tidak tepat.

“Kalau nak solat, kita kena tahu arah kiblat dan waktu. Kalau nak puasa, kita kena tahu bila Ramadhan dan tarikhnya. Nak raya pun kena tahu bila tarikh Syawal. Bila nak bayar zakat, kita kena tahu ‘haul’ iaitu kiraan masanya. Nak pergi Haji juga kena tahu bila hari Wukuf atau musim hajinya,”katanya.

Difahamkan, tahun ini juga buat kali pertama dalam sejarah pengurusan jemaah haji, pelepasan jemaah haji dilakukan di Kompleks Tabung Haji Sepang.

Maka, bagi bakal haji dan keluarga berpeluang untuk melihat lebih dekat Jam Matahari ini yang terletak di kompleks TH Sepang.

Tonton video: di sini