Tinjauan: Pas bulanan pengangkutan awam pencapaian terbaik kerajaan

Tinjauan:  Pas bulanan pengangkutan awam  pencapaian terbaik kerajaan

Pas Bulanan My50 dan My100 antara inisiatif kerajaan yang berjaya mencuri tumpuan rata-rata pelajar dan pekerja yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tinjauan Wartawan Malaysia Dateline bersama Jurugambar disekitar kawasan MRT Kota Damansara mendapati orang ramai mengakui pas bulanan yang dilancarkan lebih dekat dihati yang memberi perubahan kepada kos sara hidup secara keseluruhannya.

Pelajar, Noor Safarina Rosli, 21, berkata beliau sememangnya menggunakan pengangkutan awam dan inisiatif kerajaan menyediakan pas bulanan akan menjimatkan kos hariannya.

“Ini adalah antara pencapaian kerajaan yang paling baik dan dekat dihati rakyat. Memang saya lihat ramai yang menggunakan pas bulanan ini.

“Selepas memperkenalkan pada rakan-rakan yang lain, mereka turut berminat menggunakan pas tersebut yang dikatakan berbaloi dan rugi lah kalau tak dimanfaatkan,” katanya.

Terdapat dua jenis pas yang diperkenalkan iaitu pas My100 berharga RM100, dan boleh digunakan selama 30 hari tanpa had untuk penggunaan di semua servis tren dan bus RapidKL iaitu LRT, MRT, BRT, Monorel, dan bas RapidKL.

Manakala pas My50 pula merupakan pas berharga RM50 untuk 30 hari penggunaan di perkhidmatan bas RapidKL sahaja, termasuk bas MRT tetapi tidak termasuk bas BRT.

Pelajar, Mohamed Nadzri Ismail, 22, berkata, pas eksklusif hanya salah satu inisiatif dari pelbagai usaha kerajaan memudahkan rakyat Malaysia.

“Saya yakin banyak lagi usaha kerajaan untuk meringankan beban orang ramai namun saya kira promosi yang dilaksanakan tidak tersebar ke segenap masyarakat. Kalau kita tanya pelajar pun, apa yang mereka tahu tentang bantuan utama kerajaan ialah biasiswa, PTPTN, dan kad siswa sahaja. Selain dari itu mereka mungkin tidak tahu.

“Jadi saya rasa, kerajaan perlu buat promosi-promosi yang dapat membuka mata orang ramai tentang usaha kerajaan, “katanya.

Tinjauan turut dilakukan dalam kalangan beberapa pemandu bas rapid KL yang berkata kebanyakan orang awam menggunakan pas bulanan berbanding melalui bayaran manual atau kad touch n go.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pas bulanan My50 dan My100 dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat, selain masa untuk ke sesuatu destinasi seperti tempat kerja menerusi penggunaan pengangkutan awam.

Sementara itu, pelajar Sadhiarun Panir Selvam, 18, berkata selain pas bulanan tersebut, usaha kerajaan mengekalkan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar tanpa mengira golongan B40 atau tidak, merupakan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar.

Katanya dikala kerajaan perlu meminimumkan perbelanjaan negara namun mereka masih memikirkan nasib pelajar.

“Ia merupakan satu tanda aras yang menunjukkan kejayaan kerajaan membawa konsep peduli rakyat dan bantuan yang secara jelas telah dimanfaatkan ramai pelajar,” katanya.