Malaysia Dateline

Tinjauan: Pengguna Jambatan Kedua P. Pinang sambut baik pengurangan caj tol

Penyeragaman caj tol bagi Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Jambatan Kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mulai 1 Januari 2020 sepertimana yang diumumkan melalui belanjawan 2020 baru-baru ini disambut baik oleh pengguna jambatan tersebut.

Kamal AffendiShaari

Tinjauan yang dibuat di Jambatan Kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam mendapati ramai pengguna menyokong dan menyambut baik penyeragaman caj tol tersebut.

Kadar caj tol bagi kategori kereta persendirian di Jambatan Kedua akan dikurangkan daripada RM8.50 kerpada RM7.00 mulai 1 Januari tahun hadapan.

Penyeragaman caj tersebut bagi kedua-dua jambatan disambut baik oleh pengguna kerana ia banyak meringankan beban dan kos yang terpaksa mereka tanggung.

Menurut Kamal Afendi Shaari, penurunan kadar caj tol tersebut banyak membantu mereka yang sering menggunakan jambatan tersebut dengan kerap.

“Penurunan caj tol tersebut daripada RM8.50 kepada RM7.00 mulai tahun depan memang disokong.

“Walaupun caj yang diturunkan tidak begitu banyak, tetapi ia meringankan beban yang terpaksa ditanggung.

“Ini membuktikan kerajaan peduli terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini, ” jelasnya.

Mohd Asri B asri

Manakala Mohd Azri Basri ketika ditemui pula berkata, ia turut menyokong penyeragaman caj tol bagi kedua-dua jambatan tersebut.

“Dengan penurunan harga caj tol tersebut ia banyak membantu khususnya bagi mereka yang menggunakan laluan ini untuk berulang alik dari tanah besar ke sebelah pulau setiap hari.

“Walaupun penyeragaman ini akan dilaksanakan pada Januari tahun hadapan, ia dijangka dapat menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung.

“Namun begitu adalah diharapkan kerajaan dapat menepati janji untuk menghapuskan caj tol sepertimana yang telah dinyatakan berkali-kali sebelum ini, ” tegasnya.

Sudin Ismail

Sementara itu Sudin Ismail pula amat mengharapkan kadar caj tol yang dikenakan kini dapat diturunkan lagi bagi meringankan beban mereka yang sering menggunakan jambatan ini setiap hari.

“Penyeragaman kadar caj tol tersebut menjadi RM7.00 bagi kedua-dua jambatan pertama dan kedua amat disokong dan diucapkan terima kasih.

“Tetapi apa yang diharapkan oleh rakyat khususnya yang berpendapatan rendah agar caj tol yang dikenakan dikurangkan lagi kerana ia amat membebankan.

“Kami juga amat berharap ia bukan saja dapat dikurangkan tetapi dihapuskan sepertimana janji-janji sebelum menjadi kerajaan lagi, ” tambahnya.

Semasa Belanjawan 2019 dahulu, kerajaan turut menghapuskan tol untuk motosikal bagi jambatan pertama dan juga jambatan kedua.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lepas. rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad mulai tahun 2020.