Malaysia Dateline

Tiong sepatutnya persoal apa peranan Menteri Kesihatan

Kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong Sing ketika berbahas Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini terhadap Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Nor Hisham sebagai ‘takut mati’ adalah sangat tidak bertanggungjawab dan seoalah-olah beliau berada di dalam dunia lain dan tidak peka dengan situasi semasa.

Justeru, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Sarawak, Saifunnizam Sam serta seluruh AMK Sarawak menggesa Ahli Parlimen itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dengan segera dan mengakui kesilapannya.

Katanya, alasan kenyataa bahawa Dr Nor Hisham tidak turun ke lapangan adalah sangat dangkal kerana telah sedia maklum Dr.Nor Hisham bekerja keras bersama dengan barisan ‘frontliners’ yang lain sejak awal pandemik Covid-19.

“Adalah sewajarnya jika Tiong mempersoalkan apakah peranan sahabatnya iaitu Menteri Kesihatan dalam menangani pandemik Covid-19 selain daripada memberi nasihat untuk minum air suam.

“Begitu juga kemanakah hilangnya dua Timbalan Menteri Kesihatan yang sehingga kini masih ramai lagi tidak tahu kewujudan mereka.

“Malah, Tiong juga harus bertanyakan kepada kerajaan yang mana beliau merupakan sebahagian daripadanya, mengapa telah berkali-kali melepaskan tanggungjawab politik dan mengelak daripada akauntabiliti terhadap keputusan mereka sendiri,” soal Saifunnizam dalam satu kenyataan di Kuching.

Tegasnya lagi, tanggungjawab yang harus dipikul oleh ahli politik dan Menteri-Menteri juga telah dibebankan kepada pegawai kerajaan seperti Dr.Nor Hisham.

Ujarnya, kerajaan sedia ada hanya akan menuntut kredit atau pencapaian yang dilakukan oleh pegawai-pegawai tetapi dalam masa sama akan menjadikan pegawai-pegawai sebagai ‘kambing hitam’ sekiranya berlaku sebarang kegagalan.

“Tiong harus berada di bumi yang nyata, apa dan siapakah punca kenaikan mendadak kes Covid-19 kebelakangan ini. Suka untuk saya ingatkan peningkatan kes positif Covid-19 kali ini bermula dengan tindakan kawan-kawan pengkhianat dan kerajaan pintu belakang beliau yang cuba untuk merampas Kerajaan Negeri Sabah.

“Sekarang bukan masa untuk menunding jari tetapi bukan juga untuk membutakan mata dan mendiamkan fakta yang terjadi.

“Maka, dengan itu AMK Sarawak turut menzahirkan rasa hairan terhadap seorang lagi pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri James Jemut Masing yang mengambil pendirian untuk menyokong kenyataan Tiong walaupun jelas telah menimbulkan kemarahan majoriti masyarakat,” tambahnya.

Kata Saifunnizam, sewajarnya, Masing haruslah menasihati Tiong untuk merendah diri, memohon maaf dan mengakui silapnya.

“Sekali lagi, AMK Sarawak menggesa supaya Tiong meminta maaf serta menarik balik segera kenyataannya agar lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.

“AMK Sarawak juga berpendapat ada masa diam itu sebenarnya lebih baik daripada menimbulkan kontroversi,” katanya.