Malaysia Dateline

Tipu pakej ibadah haji: Lima individu termasuk berusia 60 tahun direman

Kira-kira 380 mangsa penipuan pakej ibadah haji mungkin boleh menarik nafas lega apabila lima individu berusia antara 30 hingga 60 tahun direman selama tiga hari hingga esok.

Mereka termasuk pemilik agensi pelancongan swasta ditahan di sekitar ibu negara, kira-kira jam 9 malam, 8 Julai lalu oleh polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilapor berkata, kesemua suspek yang ditahan direman hingga 12 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” dipetik Sinar Harian.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah menerusi kenyataan berkata, pihaknya menahan lima individu berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap dua agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

Jelasnya, selain pasangan suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

Baca juga Arab Saudi ‘disihir’ Visi 2030, pengkaji ini nasihat jemaah haji Malaysia jangan terkejut