Malaysia Dateline

Tipu rakyat dengan apa sahaja propaganda demi raih sokongan

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan musibah yang akan menimpa akibat penyebaran berita bohong.

Menerusi Minda Presiden Pas, beliau berpendapat individu yang menipu dalam politik sanggup melakukan apa sahaja demi meraih sokongan.

Hal sama juga, jelasnya, berlaku dalam aspek ekonomi dan sosial demi mengaut laba dan melariskan berita meskipun tidak benar.

“Seseorang yang berbohong dalam politik akan melakukan penipuan terhadap rakyat dengan apa sahaja propaganda bagi mendapatkan sokongan.

“Dalam aspek ekonomi pula, penipuan berlaku dalam bentuk barangan, jualan, hutang piutang dan perkara lain bagi mendapatkan keuntungan dan harta secara haram melalui pelbagai cara.

“Dalam aspek sosial pula, terdapat mereka yang sanggup berbohong dengan menyebarkan berita sensasi semata-mata untuk melariskan berita yang menggemparkan dengan pemberitaan bohong,” katanya hari ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkenaan berkata, perbelanjaan yang besar dikeluarkan demi melakukan pembohongan kerana peranan berita bohong itu sangat besar bagi mempengaruhi masyarakat.

“Terkini pula, diciptakan alat-alat berteknologi tinggi yang canggih, mahal harga dan mahal upahnya.

“Maka, bertambah ramai pula yang terpalit dengan memiliki harta haram hasil daripada amalan berbohong dan menipu,” kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.