Tidak tahu apa motifnya hingga sanggup menukarkan status Tanah Rizab Melayu dan menjual tanah tersebut kepada orang bukan Melayu.
Disebabkan itu, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Rosli Che Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Memetik Malaysia Gazette, ia adalah atas pertuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, kira-kira 12 tahun lalu.
Tertuduh berusia 64 tahun itu membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membaca pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Ibrahim Osman.
Berdasarkan pertuduhan, pesara kerajaan itu didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak dengan memperdaya lembaga tersebut.
Tertuduh meyakinkan mereka bahawa tanah No Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.
Melalui perbuatan tersebut, tertuduh telah mendorong Lembaga terbabit untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira- kira 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Daerah Manjung.
Tanah itu diberikan kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar.
Perbuatan tersebut dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada 4 Januari 2012.
Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Baca juga: Jutawan kesunyian lelong banglo 5 tingkat lepas anak-anak enggan duduk serumah