Titah Agong: Saya tidak akan layan permintaan yang gugat kestabilan politik negara

Oleh WAN SITI AMINAH

Semua Ahli Parlimen diingatkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Titah Sultan Ibrahim, semua pihak tidak kira pembangkang atau kerajaan sekalipun perlu menghormati pemerintahan yang dibentuk selepas Pilihan raya Umum ke-15.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan agar semua pihak menerima kenyataan dan tidak meneruskan usaha untuk menggugat kestabilan politik negara, lapor Malaysia Kini.

Dalam Titah Diraja tersebut, baginda juga menegaskan bahawa Ahli Parlimen perlu menunggu pilihan raya yang akan datang untuk meneruskan agenda politik mereka.

“Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda memetik laporan Malaysia Kini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Seri Paduka turut menggesa agar semua Ahli Parlimen bekerjasama untuk membina negara dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira parti politik diwakili mereka.

Jelas baginda, sebarang kegagalan atau kejayaan tidaklah terletak di bahu Perdana Menteri sahaja, namun semua 222 Ahli Parlimen yang dipilih rakyat seharusnya turut memikul tanggungjawab itu.

“Semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan. Semua sedia maklum bahawa keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana.

“Oleh itu, saya berharap semua ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha membela nasib hidup mereka dan bukannya untuk kepentingan parti politik dan diri sendiri,” titah Yang di-Pertuan Agong Ke-17 itu.

Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan.

Tindakan itu termasuklah sekatan menyertai persidangan selama 14 hari di mana ia terpakai kepada semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara yang enggan menjaga adab, tatatertib atau menggunakan pertuturan tidak sopan.

Baca juga: “Kita dah buat selawat hampir sejam” – Penganjur mohon maaf adakan konsert terkinja-kinja di Kedah