Titah Raja-raja Melayu: Rakyat perlu nyatakan pendirian bersama, kata MDN

Titah Raja-raja Melayu: Rakyat perlu nyatakan pendirian bersama, kata MDN

Majlis Dakwah Negara (MDN) berpandangan dalam menyatakan pendirian terhadap titah Raja-Raja Melayu bukan sahaja membabitkan pemimpin politik bahkan rakyat juga perlu menyatakan pendirian bersama.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majib berkata, Raja-raja pastinya telah menimbangkan sebaik mungkin dan mengkaji situasi semasa berlaku yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara ini.

” Duli Raja-raja telah mengambil inisiatif bersama untuk menegur pemimpin politik dan rakyat sedangkan perkara ini (teguran) tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Mungkin dipandang remeh di kalangan orang yang terlibat dengan  perbalahan kerana mereka lebih fokus kepada isu perbalahan itu dan kadangkala tidak sedar menyebabkan banyak masalah lain timbul dalam masyarakat.

“Pada masa sama pula,  mereka tidak sedar telah melanggar batas-batas perpaduan dan agama di negara ini, sebab itu Raja-raja mengambil pendirian bersama menasihati pemimpin politik dan rakyat.

“Ini kerana secara menyeluruh rakyat negara ini masih lagi terikat dengan batas-batas tertentu yang ditentukan Raja-raja yang mana institusi Raja juga sebahagian daripada Perlembagaan Negara,”ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditanya mengenai respon beberapa pemimpin politik terhadap titah Majlis Raja-raja Melayu itu, dengan kenyataan media pada Rabu oleh Majlis Raja-raja Melayu yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad,

Kenyataan itu menyebut rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara, yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Raja-Raja Melayu juga percaya perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia dan Rukun Negara harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

Sebelum ini MDN pernah menganjurkan Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara ke Arah Wasiat Lebih Tersirat untuk membuka ruang wacana tentang peranan institusi raja sebagaimana termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan dan perundangan negara.

Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara ke Arah Wasiat Lebih Tersirat yang dirasmikan Sultran Perak Sultan Azlan Shah pada April lalu.

Justeru kata Mahmood Zuhdi lagi, titah Majlis Raja-raja Melayu ini perlu disahut rakyat negara ini untuk menyatakan pendirian mereka demi menjaga keharmonian kaum, agama, perbezaan mazhab dan perpaduan dalam negara, kena pada masa dan ketikanya.

“Pada pemimpin politik MDN harap mereka melihat semula sama ada perbezaan pendapat itu menguntungkan masyarakat Islam, perpaduan kaum dan negara.

“Jika terlalu banyak perbezaan berlaku ia lebih merugikan kepada  umat Islam, masyarakat dan negara.

“Kedua kepada rakyat saya ingin cadangkan rakyat juga perlu respon kepada teguran Raja-raja itu, supaya rakyat dan Raja berpisah tiada.

“Sebelum ini Raja menegur berkaitan hal agama umat Islam tetapi hal politik dan perpaduan rakyat tidak pernah dizahirkan.

“Mungkin Duli Raja-raja melihat perpecahan semakin ketara dan baginda merasa amat merugikan bangsa dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

“Sebelum ini  juga Raja hanya bertitah untuk negeri masing-masing ini bermakna keputusan Duli Raja-raja kali ini lebih menyeluruh, dan satu perkembangan baik bagi sebuah institusi Di Raja dalam negara ini,” ujarnya yang bersedia mengajak semua pihak sama ada NGO, pendakwah, ulama, profesional untuk bersama menyatakan pendirian terhadap titah Raja-Raja Melayu ini.

Mengulas lanjut Dr Mahmood Zuhdi, turut berpandangan titah  Raja-raja Melayu ini sewajarnya tidak dizahirkan melalui media sahaja tetapi berpendapat Raja-raja perlu bertitah di perhimpunan rakyat di negeri masing-masing.

“Titah Raja adalah untuk menyedarkan pemimpin dan masyarakat tidak saja disebarkan melalui media tetapi juga Duli Raja-raja perlu membuat titah itu di perhimpunan rakyat di negeri masing-masing.

“Ini kerana dari dahulu lagi, masyarakat Melayu adalah masyarakat feudal. Mereka berbesar hati dan boleh terima dengan baik titah Raja secara berhadapan dengan rakyat,” ujarnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS