Malaysia Dateline

Titah Sultan Selangor: Khalid tidak nafi PN kerajaan sah, tapi dibentuk melalui pintu belakang

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad menjelaskan istilah pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui pintu belakang bukanlah gelaran yang menolak Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang sah.

Sebaliknya, beliau berkata, penggunaan ungkapan itu adalah cerminan bahawa gabungan Bersatu, PKR kem Azmin Ali, Umno dan Pas tersebut dibentuk melalui prosedur yang tidak berakhlak.

“Apa yang saya faham, titah Sultan Selangor itu ialah supaya kita jangan mempertikaikan kesahihan kerajaan tersebut.

“Sebenarnya, istilah kerajaan pintu belakang bukan istilah yang menolak hakikat bahawa kerajaan itu sah.

“Ini kerana, dalam ucapan Duli Yang Amat Mulia, sultan menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan kuasanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Cumanya, istilah pintu belakang itu adalah istilah yang mengatakan bahawa kerajaan itu telah dibentuk dan ditegakkan dengan kaedah yang hina dan tidak berakhlak,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan tohmahan berkenaan pembentukan kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa terhadap pentadbiran negara perlu dihentikan.

Baginda bertitah, perkara itu adalah tidak bertepatan oleh kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah diberi kuasa menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Tebuk atap

Dalam pada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, menjelaskan bahawa realitinya PN juga tidak dibentuk melalui ‘pintu depan’ yang dipilih oleh rakyat untuk mendapat kedudukan sebagai kerajaan.

Kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, apa yang berlaku adalah setelah PH dipilih oleh rakyat, PN melakukan khianat dengan menguasai kerajaan pusat melalui pintu belakang.

Malah, beliau turut menjelaskan bahawa dakwaan yang mengatakan PH jatuh selepas peletakan jawatan oleh bekas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah tidak tepat.

“Ada yang kata PH itu roboh dengan sendiri kerana Dr Mahathir letak jawatan. Sebenarnya, Tun letak jawatan kerana telah pun dikhianati oleh pihak Bersatu bersama dengan geng Azmin Ali yang mendesak Tun untuk membawa Bersatu keluar daripada PH.

“Maka, usaha khianat itu telah berlaku yang menyebabkan Tun letak jawatan. Bila dah letak jawatan, PH dah tak cukup kerusi sebab ada yang dah bawa keluar oleh Ahli Parlimen Bersatu dan dari kem Azmin.

“Justeru, kerajaan pintu belakang ini sah tetapi ianya merupakan kerajaan yang tidak mendapat mandat daripada rakyat. Dia masuk melalui pintu belakang ataupun tebuk atap,” kata Khalid lagi.