Malaysia Dateline

Titah Sultan Selangor lambang keprihatinan terhadap pendidikan agama dan tahfiz, kata Pinta

Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) Selangor, menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya sekolah tahfiz swasta yang tidak didaftar ditutup, sebagai lambang keprihatinan baginda terhadap pendidikan agama dan tahfiz.

Pengerusinya, Mohd Dailami Che Age, berkata Pinta menjunjung tinggi titah Tuanku berhubung isu pusat tahfiz di Selangor.

Katanya, Pinta yang mewakili majoriti institusi tahfiz di negara ini, bersedia membantu bagi tujuan menambah baik kurikulum dan isu pendaftaran institusi tahfiz.

“Pinta amat berterima kasih, kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang telah banyak membantu mempermudahkan pendaftaran institusi tahfiz di negeri Selangor.

“Namun masih ada ruang dan kelemahan yang boleh dibaiki, dari sudut teknikal di institusi tahfiz yang memerlukan masa untuk dibaik pulih, seperti prasarana serta kelengkapan asas bangunan dan lain-lain.

“Pinta ingin tegaskan, semua ahli Pintabegitu komited untuk mendaftarkan institusi mereka masing masing, tidak ada mana-mana ahli di bawah Pinta yang enggan atau ingkar untuk membuat pendaftaran bersama Jais,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Dailami berkata, jika ada institusi tahfiz yang belum mendapat kelulusan pendaftaran, ini bermakna beberapa kekangan dan syarat-syarat yang masih belum dilengkapi serta dipenuhi.

“Saya percaya, di atas bimbingan dan kerjasama Jais yang mengambil berat isu-isu seperti ini, semua insitusi tahfiz yang belum berdaftar akan berjaya mendapat kelulusan daripada Jais.

“Mudah-mudahan, di atas kerjasama semua pihak dan keprihatinan Baginda Tuanku, institusi tahfiz dan pengajian Islam di bawah naungan Baginda Tuanku akan lebih maju dan makmur,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jais ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Baginda bertitah, penutupan juga perlu dilakukan ke atas sekolah-sekolah yang tidak mempunyai kokurikulum serta sistem pendidikan akademik moden.