Malaysia Dateline

Titah ‘tersirat’ Raja-Raja Melayu: Teguran keras penuh santun!

Raja-Raja Melayu telah bersidang pada 16 Jun lalu dan kenyataan titah Duli-Duli Yang Maha Mulia tersebar ke seluruh negara.

Persidangan khas itu berlangsung selepas pada minggu sebelumnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima semua pemimpin parti politik datang mengadap di Istana Negara.

Dalam tempoh antara majlis mengadap baginda dengan persidangan khas Raja-Raja Melayu, pelbagai spekulasi berlegar yang mana tumpuan utama adalah kemungkinan berlaku peralihan tampuk pemerintahan.

Walaupun belum tentu dapat dipastikan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri baharu tetapi keinginan segelintir peminat politik adalah melihat Mahiaddin Md Yassin dilengserkan daripada kerusi penting itu.

Tetapi dalam membuat jangkaan berbaur politik adalah lebih baik untuk mengambil sikap bahawa Raja-Raja Melayu akan kekal berada di luar campur tangan politik dan urusan pentadbiran negara.

Memang kebiasaannya, Raja-Raja Melayu cenderung mengambil pendirian dan bertitah secara ‘konservatif’ demi memelihara kepentingan umum dan supaya terpelihara imej serta kewibawaan daripada cenderung kepada mana-mana pihak berkepentingan politik.

Tambahan pula, ketika ini negara berada dalam kekecamukan yang luar biasa. Ketidakstabilan politik di peringkat nasional atau dalam kalangan parti-parti pemerintah, kadar jangkitan Covid-19 yang menggila tanpa nampak sebarang harapan pulih dalam tempoh terdekat, kadar pengangguran yang mencanak, kadar bunuh diri yang meningkat, sistem kesihatan yang semakin lemah dan rapuh serta kerosakan keyakinan pelabur dan ekonomi negara.

Latar belakang situasi negara ini tidak akan mampu dipulihkan jika peralihan kuasa berlaku dalam tempoh terdekat. Kegilaan merebut kuasa akan memusnahkan semua pihak; inilah bencana yang sepatutnya diambil iktibar hasil daripada ‘perjudian’ mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September tahun lalu.

Malaysia kini telah hilang pusat kuasa politik. Tiada mana-mana parti politik boleh mengakui mereka memiliki kelebihan untuk mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan. Tiada pihak yang memiliki pemberat majoriti yang lebih signifikan berbanding parti lawan.

Ketidakstabilan ini tidak wajar ditambah bebannya dengan sikap bebal mana-mana pihak untuk mengutarakan supaya berlaku peralihan kuasa pemerintahan. Benar, ini adalah kerajaan pengkhianat yang telah menyusahkan banyak pihak.

Tetapi sewajarnya luka yang sedang parah ini tidak ditambah sehingga merosakkan persepsi orang ramai bahawa politik sekarang adalah terlalu keji dan kotor. Kebencian rakyat terhadap kelembapan kerajaan menguruskan Covid-19 dan program vaksinasi wajar dibiarkan tanpa sebarang campur tangan daripada pihak politik.

Maka, apabila persidangan khas Raja-Raja Melayu selesai bersidang dan terdapat dua kenyataan yang mewakili titah dan hasrat para baginda seperti dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Jika dinilai kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, pada perenggan kedua telah ditegaskan keperluan persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin. Titah ‘secepat mungkin’ yang mengawali kandungan kenyataan menggambarkan kepentingan titah itu dipatuhi oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan Seri Paduka Baginda ke atas masalah jangkitan wabak dengan program vaksinasi sebagai ‘exit strategy’ boleh dilaksanakan lebih baik bagi mencapai imuniti kelompok 80 peratus turut dizahirkan.

Walaupun tidak berlaku sebarang peralihan kuasa seperti yang diharapkan segelintir pihak, tetapi Seri Paduka Baginda telah bertitah supaya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh dapat ditegakkan untuk dua tujuan iaitu menangani Covid-19 dan memulihkan negara.

Secara penuh kesantunan, Seri Paduka Baginda bolehlah dianggap menzahirkan ‘teguran keras’ kepada pentadbiran kerajaan kini yang seperti bercelaru, tidak menentu dalam mengambil pendekatan pemulihan yang lebih meyakinkan.

Kelemahan dan kegagalan kerajaan sekarang tidak mustahil telah menyebabkan imej institusi diraja juga tercemar.

Hal ini turut diakui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa berlaku peningkatan dalam kes penghinaan terhadap institusi diraja. Walaupun tidak menyebut punca penghinaan itu berleluasa, secara rasionalnya, bolehkah pihak kerajaan mengelak daripada mengakui bahawa kelemahan mereka adalah puncanya?

Jika diteliti kenyataan daripada Istana Negara juga, Seri Paduka Baginda hanya menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat tanpa sebarang pujian khusus kepada pihak kerajaan.

Sementara itu, kenyataan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula menggariskan tujuh perkara yang dipersetujui secara bersama dalam kalangan sembilan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Salah satu perkara yang agak menarik dan perlu dibaca bersama kenyataan media Istana Negara adalah mengenai Parlimen dipanggil bersidang secepat mungkin dan tiada keperluan negara diletakkan dalam keadaan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Kini, kerajaan Mahiadin mempunyai tempoh sebulan lebih sahaja untuk mengambil peluang memastikan semua pandangan yang dizahirkan Raja-Raja Melayu dipenuhi atau berdepan dengan pembangkang dan lawan dalam PN apabila Parlimen dibuka kelak.