Titah Tuanku dan amanah di bahu Menteri Besar Johor

Titah Tuanku dan amanah di bahu Menteri Besar Johor

Selamat bertugas untuk Menteri Besar (MB) Johor yang baharu, Dr. Sahruddin Jamal dan tahniah kepada beliau kerana berjaya dipilih bagi memangku jawatan tertinggi di negeri ini.

Satu demi satu episod berakhir di Johor dan segala persoalan telah terjawab dengan pelantikan MB baharu serta sekali gus menutup segala spekulasi dari pelbagai pihak. Ternyata yang tersirat kini telah tersurat dan apa yang dihajatkan telah pun terlaksana.

Namun pastinya tugas yang menanti beliau selaku MB yang baharu pasti mencabar. Mana tidaknya beliau telah dilantik dalam keadaan negeri mempunyai pelbagai masalah berbangkit yang perlu diselesaikan.

Dalam hal ini cuba kita semak semula apakah yang kini tersirat di atas pelantikan MB yang baharu ini. Beliau sebelum ini merupakan Exco alam sekitar dan umum masyarakat Johor mengetahui dalam isu Sungai Kim Kim, beliau antara watak utama dalam menangani isu bencana itu.

Pada tarikh angkat sumpah sebagai MB yang baharu, Sahruddin telah dinasihatkan oleh Tuanku Sultan Johor berkenaan peri pentingnya isu kelestarian alam sekitar dengan baginda menyebut soal pencemaran sungai yang perlu dititik beratkan.

Dalam kenyataan Tuanku, “Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.”

Dapat dipastikan dalam bencana yang berlaku sebelum ini, sungai merupakan salah satu penyebab utama yang menempelak MB sebelum ini. Contohnya, isu Sungai Kim Kim yang diperkatakan rakyat untuk menuding jari kepada pemerintahan PH Johor sebelum ini.

Perkara ini harus dijadikan iktibar. Alam sekitar jika dibiar tercemar pasti akan mengundang pelbagai lagi masalah selain bencana yang sebelum ini terjadi. Selain itu penekanan terhadap faktor pemuliharaan alam sekitar perlu diutamakan bagi MB yang baharu ini.

Lumrah segala urusan serta pentadbiran perlu bervisi bagi mengelakkan sebarang pertikaian. Pemuliharaan sungai juga penting kerana terdapat nelayan-nelayan sungai yang memerlukan perhatian dari kerajaan.

Pastinya sebagai bekas Exco alam sekitar, Sahruddin sudah maklum akan hal ini dan langkah-langkah pencegahan perlu segera diambil bagi mengelakkan rakyat hilang kepercayaan.

Dalam tinjauan ke lokasi di Sungai Johor dan Sungai Sayong, terdapat lebih 5,000 penduduk yang terjejas jika berlaku sebarang pencemaran. Belum lagi jika kita mahu sebutkan sungai yang lain yang turut tercemar secara berkala tanpa ada sebarang perhatian oleh pihak kerajaan.

Saya lebih tertarik dengan isu sungai yang menjadi sumber air mentah kepada penduduk kerana ia dapat dilihat sebagai punca air pengguna di seluruh kediaman di negeri ini. Berulang kali disebutkan rekod telah mengesahkan sebanyak 29 dari 51 sungai tercemar adalah di negeri Johor.

Namun, keprihatinan terhadap isu sungai tersebut selalu dipandang remeh tanpa diletakkan

sebagai hal yang perlu diselesaikan pada tahap keutamaan. Ini jelas sehinggakan bila ditanya berkenaan soal ini pada MB sebelum ini jawapan yang diterima sungguh tidak masuk akal.

Hari ini, terdapat kawasan-kawasan yang dicatu atas faktor air bersih yang bermasalah di loji-loji rawatan dan ini hakikat yang menyusahkan masyarakat serta perkara ini jelas dengan berlakunya kawasan di Kota Tinggi yang sebelum terpaksa dicatu airnya selama memakan masa sebulan atau pun lebih.

Selain itu, sungai-sungai lain di negeri ini kebanyakan di dalam keadaan nazak. Tindakan pemulihan seperti tidak berjalan lancar dan ada di antaranya hanya sekadar retorik ucapan tanpa ada sebarang tindakan yang konkrit.

Seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dato Mohammad Ezzani Mat Saleh yang menyatakan pemantauan sungai di negeri amat lemah serta penekanan dengan faktor alam sekitar juga sama.

Namun, bila beliau bersuara terdapat pihak yang kurang senang mengaitkan beliau dengan sijil palsu serta serangan peribadi yang lain.

Adakah wujudnya ‘mafia’ dalam memastikan alam sekitar di negeri rosak? Serta mafia tersebut dilihat kebal tanpa mampu disentuhi oleh pihak berkuasa.

Ini permasalahan yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan kerana masyarakat memerlukan wira dalam menyelesaikan masalah mereka dan masyarakat mulai sedar bahawa isu ini akan meningkatkan kos tarif air mereka.

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim juga antara pejuang yang tidak putus-putus membicarakan soal perjuangan pemulihan alam sekitar ini turut sependapat menyatakan tahap bahaya yang berlaku terhadap alam sekitar terutamanya sungai-sungai di Johor ini.

Sebelum berlakunya bencana Sungai Kim Kim lagi, pelbagai forum dan kenyataan yang dikeluarkan beliau bagi memfokus kepada alam sekitar namun sebelum ini ia tidak dipandang.

Akhirnya, rakyat menjadi mangsa walaupun pelbagai alasan diberi. Kerajaan harus belajar dan tugasan MB Johor yang baharu ini adalah untuk memastikan hal yang berlaku tidak berulang kembali serta dapat ditambah baik pada masa akan datang. Yang buruk jadikan sempadan yang baik jadikan ikutan.

Kenyataan dari Tuanku Sultan Johor itu perlu disemak semula untuk dipandu ke arah pembentukkan perjuangan masyarakat. Apa yang ditegaskan oleh Baginda Sultan Johor adalah yang selama ini disuarakan. Tak salah jika berpegang pada nasihat ‘yang lentik dilurutkan, yang baik diturutkan’.