Malaysia Dateline

TLDM terima 6 UAV pertengahan November ini

Kementerian Pertahanan hari ini mengumumkan, negara akan menerima pesawat tanpa pemandu (UAV) dari Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini sehingga 2022.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan media hari ini memberitahu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset itu secara berperingkat, yang mana kumpulan pertama membabitkan enam UAV ScanEagle dijangka diterima pertengahan November ini.

“ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada AS akan dapat membantu Malaysia membuat pengawasan maritim sementara Kementerian Pertahanan membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan intelligence (risikan), surveillance (pemantauan) dan reconnaissance (peninjauan) (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

“Selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi penguat kuasa lain turut menerima manfaat di bawah program MSI bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat dalam kalangan agensi penguat kuasa dan ATM,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan turut memaklumkan, perolehan 12 UAV ScanEagle tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.

Katanya, kos berkenaan sebaliknya dibiayai oleh AS menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI).

“AS melalui program Maritime Security Initiative (MSI) telah menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak membabitkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia.

“Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara,” kata kenyataan itu lagi.