Malaysia Dateline

TM pertimbang jual aset untuk beri pulangan lebih baik, kata CEO

Telekom Malaysia Bhd (TM) akan mempertimbangkan untuk melupuskan asetnya termasuk Menara TM untuk membuka nilai kunci (aset) dan menggunakan hasilnya dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Imri Mokhtar berkata, hasil itu boleh digunakan untuk pelaburan lain yang memberikan pulangan yang lebih baik bagi syarikat itu.

“Ia adalah proses berterusan yang akan dilaksanakan dari masa ke semasa. Ia bukan sesuatu yang baru, ia dilakukan beberapa tahun yang lalu.

“Beberapa bahagian tanah yang sedia ada merupakan hartanah TM sendiri, manakala ada beberapa yang dimiliki oleh kerajaan. Kami akan terus menilai pilihan untuk menjual hartanah kami, “katanya seperti dipetik dalam temu bual dengan News Straits Times baru-baru ini.

Imri Mokhtar

Pada Februari lalu, syarikat itu membuka tender untuk menjual dua bangunan pejabat (Annexe 1 and Annexe 2) di ibu pejabatnya pada julat harga rizab bangunan berkenaan yang dilaporkan antara RM273 juta dan RM312 juta.

Menurut laporan, tender jualan untuk bangunan tersebut telah dibuka dan pembeli yang berpotensi mempunyai pilihan membeli kedua-dua bangunan tanpa penyewa, atau dengan perjanjian penyewaan yang berbeza.

Kedua-dua bangunan ini diduduki plot pajakan dan dimiliki oleh TM, dengan plot pajakan yang mempunyai 53 tahun lagi.

Annexe 1 adalah sebuah bangunan 20 tingkat dengan keluasan lantai kasar (GFA) seluas 266,140 kaki persegi, luas sewaan bersih 188,122 kaki persegi dan kadar penghunian sebanyak 95 peratus.

Annexe 2 adalah bangunan 33 tingkat dengan GFA seluas 412,875 kaki persegi, luas sewaan bersih 280,650 kaki persegi dan kadar penghunian sehingga 92 peratus.

Harga rizab untuk Annexe 1 bermula pada RM108.5 juta hingga RM125 juta, manakala Annexe 2 bermula pada RM164.9 juta hingga RM187 juta.

Mengulas mengenai penjualan bangunan yang dicadangkan itu, Imri berkata syarikat itu masih mencari pilihan yang boleh mewujudkan nilai bagi syarikat itu.

“Setakat ini, tidak ada keputusan (jualan) mengenainya, kami masih menimbangkannya,” katanya seperti dipetik NST