TMJ akhirnya bersuara, arah siasatan menyeluruh kes pengawal peribadi pukul pemandu OKU

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah bertitah supaya pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berhubung kejadian pegawai polis pengiring peribadi baginda yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing, Selasa lalu.

Hal ini berikutan baginda langsung tidak menyokong sebarang perbuatan mahupun tindakan mengugut yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Perkara tersebut dititahkan oleh Tunku Mahkota Ismail menerusi satu hantaran di akaun media sosial rasmi X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) milik baginda pada petang Jumaat.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di Hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam satu ciapan, sebentar tadi.

Mendakwa terdapat gerakan yang mengheret institusi diraja dalam insiden tersebut, baginda turut bertitah supaya semua pihak menghormati siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga sedar ada gerakan yang mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini. Tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar.” Tegas baginda.

Terdahulu, seorang pemandu e-hailing yang merupakan orang kurang upaya (OKU) membuat laporan polis dan mendakwa ditumbuk di bahagian kepala oleh pengiring rombongan kenamaan ketika berada di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

Pengadu yang berusia 46 tahun itu difahamkan telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’ oleh pegawai perubatan.

Baca juga: “Orang baik sebab tu saya setuju” – Bukan calang-calang orang rupanya bakal menantu Tunku Ampuan Pahang