TMJ bidas Faizal tukar cerita mengenai kos buat padang SNBJ

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Ismail Sultan Ibrahim meminta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menukar cerita berhubung kos membuat padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ini berikutan Faizal menafikan kos RM10 juta itu bukan untuk padang SNBJ sebaliknya ia bagi membaik pulih padang di seluruh negara.

Bagaimanapun, Tunku Ismail menegaskan beliau tidak berbohong ataupun salah tafsir mengenai isu RM10 juta itu kerana Faizal sendiri yang memaklumkan bahkan ada saksi yang turut mendengar.

“Saya ada ramai saksi malam itu beliau cakap 10 juta, apabila saya tanya berapa bajet buat padang SNBJ. Jadi, jangan tukar cerita,” katanya di laman sosial.

Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.

Namun, kelmarin, Menteri Belia dan Sukan itu menafikan kos membuat padang baharu di SNBJ membabitkan belanja RM10 juta, sebaliknya menjelaskan ia turut merangkumi kos membaikpulih padang di seluruh negara.

Menurut Faizal Azumu, kos itu sebenarnya akan digunakan bagi kebanyakan padang stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh Malaysia.

“Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor termasuk mengenai untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara bukan saja di Bukit Jalil.

“Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.

“Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaiktaraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia,” kata Mantan Menteri Besar Perak itu.