TMJ mampu terajui kecemerlangan FAM, kata Salahuddin

TMJ mampu terajui kecemerlangan FAM, kata Salahuddin

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim wajar diberi peluang menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, TMJ mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan sepanjang memimpin Johor Darul Takzim (JDT).

“Pilihan saya ini bukan berasaskan saya adalah anak bangsa Johor semata-mata tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya melihat TMJ mempunyai ‘track record’ yang boleh dibanggakan.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa kecemerlangan pasukan JDT secara objektifnya bukan berdasarkan rasa ketaksuban penyokong-penyokong bola sepak Johor.

“Objektif yang saya maksudkan adalah berlandaskan rekod dan prestasi cemerlang JDT. Saya sebagai rakyat Malaysia, golongan muda, peminat-peminat sukan tanah air dan antarabangsa telah melihat kewibawaan TMJ dalam memancu bola sepak JDT ke tahap ‘world class’ satu hari nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, FAM pada saat ini memerlukan suatu era baru dalam urus tadbir pengurusan mereka.

Sehubungan itu katanya ia hanya boleh tercapai dengan memberikan peluang kepada mereka yang benar-benar mampu untuk membawa misi bola sepak negara.

“Bukan sekadar meningkatkan kecemerlangan mutu bola sepak pasukan-pasukan dalam negara tetapi juga mampu cemerlang di peringkat antarabangsa sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru FAM tidak memilih orang-orang politik yang tidak mempunyai integriti untuk menerajui persatuan itu.

“Saya menyeru agar berilah TMJ peluang ini untuk memimpin FAM dalam waktu yang munasabah serta saya juga turut yakin FAM boleh kembali ke zaman kegemilangannya malah akan lebih baik lagi seperti melayakkan diri ke Piala Dunia akan datang,” katanya.

Selain TMJ, FAM menerima tiga lagi pencalonan bagi jawatan berkenaan yang terdiri daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Senarai calon akhir akan dibentangkan dalam mesyuarat exco FAM pada 20 Februari ini sebelum kongres pemilihan persatuan itu bagi penggal 2017-2021 diadakan pada 25 Mac depan.

TAGS