Malaysia Dateline

TMJ persoal kos buat padang di Bukit Jalil cecah RM10 juta

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan kewajaran kos sebanyak RM10 juta untuk membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Tunku Mahkota Johor berkenaan berkata, peruntukan yang didedahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu sebagai terlalu mahal berbanding kos membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Menurut Tunku Ismail, beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang itu yang lengkap dengan sistem perpaipan, tanah dan pelbagai lagi.

“Saya berbual dengan Menteri KBS baru-baru ini dan tanya berapa kos saya buat padang. Dia terperanjat apabila saya cerita kos padang kerana dia dapat tawaran buat padang baharu di Bukit Jalil yang sama seperti ini, RM10 juta. Banyak sangat orang nak ‘mark up.’

“Saya buat RM1.4 juta sahaja. Saya pakai Zoysia. Kos dia tetap sama… paling mahal pun RM1.5 juta, takkan ada lebih mahal daripada itu. Kenapa jadi sampai RM10 juta?” lapor BH memetik rancangan [email protected] kelmarin.

Tunku Ismail menegaskan pihak yang mendakwa kos selenggara padang menelan jutaan ringgit sebagai tidak masuk akal.

“Untuk kos penyelenggaraan pun, (kos) tidak lebih RM300,000 setahun. Kalau ada orang nak selenggara padang perlukan berjuta-juta, itu cerita dongeng.

“Jadi, kalau boleh saya nak minta pada kerajaan dan KBS, bajet yang ada jangan diberikan pada kelab tetapi pada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk buat padang.

“RM1.4 juta untuk 14 negeri, bagi saya tiada apa-apa,” katanya sambil menegaskan kualiti padang di negara ini sudah jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan Singapura memandangkan rumput jenis ‘cowgrass’ masih digunakan di Malaysia.

“Dua padang (yang baik) adalah di JDT dan Terengganu FC (TFC). TFC ambil inisiatif yang tepat dan bagus untuk ubah padang mereka. Tak guna ada fasiliti tetapi padang masih ‘old school’. Pemikiran itu perlu ditukar.

“Jangan buat fasiliti kerana nak tunjukkan apa JDT ada, kita kena ada. Padang adalah keutamaan dan benda pertama kena tukar adalah padang. Sampai bila kita nak pakai ‘cowgrass’. Jangan malukan kita kerana negara jiran pun dah berubah.

“Saya harap Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah, Sarawak, Selangor dan semua ada padang seperti ini.

“Padang seperti ini akan naikkan mutu permainan kita apabila kita bertanding. Tahap pasukan akan meningkat kalau pasukan ada padang yang bagus.

“Kita main ‘cowgrass’ sepanjang tahun tetapi apabila skuad kebangsaan beraksi di luar, kita jadi kekok. Padang adalah pelaburan jangka masa panjang,” tambahnya lagi.