TMP 2017: Amanah cadang LTSAS dibuka semula tarik pelancong Medan

TMP 2017: Amanah cadang LTSAS dibuka semula tarik pelancong Medan

Dr Muhaimin Sulam Amanah Perak melihat isu utama bagi menarik pelancong asing khasnya dari  Indonesia  akan lebih mudah jika penerbangan  dari Ipoh ke Medan beroperasi kembali di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Naib Pengerusinya Dr Muhaimin Sulam berkata, Tahun Melawat Perak (TMP)2017 yang hampir separuh tahun kini menunjukkan kelembapan dalam menarik pelancong asing sebagaimana dicita-citakan kerajaan pusat dan negeri.

“Isu pokok sebelum ini sudah tentu berkaitan LTSAS yang tidak mesra dengan kapal terbang yang bersaiz besar dan juga masalah landasan yang berisiko dan agak berbahaya bagi kapal terbang apabila ianya berlaku kemendapan.

“Tetapi sedikit malang perancangan bagi menarik pelancong asing dari Indonesia khasnya dari Medan dilihat ‘tempang’ apabila tahun lepas syarikat penerbangan yang menghubungkan Ipoh-Medan telah menamatkan perkhidmatannya berikutan mengalami kerugian apabila bilangan penumpang yang tidak memberangsangkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdapat dua syarikat yang melakukan penerbangan Ipoh-Medan iaitu You Wings yang juga anak syarikat Sriwijaya Air sebanyak empat kali dalam seminggu yang telah memulakan operasinya pada 25 November 2014 dan manakala Malindo Airways telah memulakan operasinya pada 17 Oktober 2014.

Sebelum itu sebuah lagi syarikat penerbangan Flying Fox Airways yang telah memeterai perjanjian dengan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Indonesia, Sriwijaya Air bagi penerbangan Ipoh-Medan terpaksa menangguhkan penerbangan pertamanya yang dijadualkan pada 13 Disember 2013 berikutan masalah teknikal ketika itu.

Bagaimanapun Dr Muhaimin berkata Amanah mengucapkan syabas dan taniah kerana usaha kerajaan negeri dalam Misi Penggalakan Pelancongan TMP 2017 yang dilaksanakan di Medan dan Jakarta, di Indonesia baru-baru ini.

Dalam rangka kerja Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke Indonesia, beliau dipetik berkata, Kerajaan Perak menyasarkan kehadiran 150,000 pelancong Indonesia, hasil penganjuran Perak Travel Mart di Medan dan Jakarta, sejak 8 Mei lalu.

Zambry berkata promosi yang berlangsung sempena TMP 2017 itu berjaya memperkenalkan Perak sebagai destinasi pilihan percutian kepada masyarakat Indonesia khususnya dari Medan dan Jakarta.

Perak ujarnya lagi, mempunyai kelebihan, yang mana ia boleh dikunjungi dengan harga lebih murah berbanding negeri lain, menjadikannya cukup sesuai untuk percutian keluarga. Selain itu, katanya, faktor kebersamaan dan serumpun, termasuk bahasa menarik pelancong Indonesia berkunjung ke Perak.

 

COMMENTS

Wordpress (0)