TN50: Antara harapan dan realiti

TN50: Antara harapan dan realiti

Kenyataan dari Khairy Jamaluddin ‘TN50 pastikan generasi muda tak warisi beban kos hidup’, seolah-olah beliau baru bangun dari tidur lena yang amat lama dalam bilik yang tidak bertingkap. Kalau bilik beliau bertingkap sudah tentu seorang muda yang cerdik seperti beliau boleh melihat betapa muram dan gelap dunia anak muda hari ini.

Pengangguran generasi muda

Daripada lebih daripada 500,000 orang penganggur hari ini, 30% adalah graduan anak muda yang masih menunggu peluang pekerjaan pertama mereka. Mereka yang baru lulus Universiti seberang laut tidak berminat pulang kerana ketandusan peluang pekerjaan dan mata wang serta ekonomi Malaysia yang telah didurjanakan oleh kleptokrat.

Graduan tempatan yang “terperangkap” oleh sekatan perjalanan keluar kerana hutang PTPTN di Malaysia, terpaksa berkerja di pasaraya walaupun memiliki kelulusan akademik yang tinggi. Masalah yang paling besar hari ini adalah Kerajaan tidak mahu mengakui realiti masalah yang dihadapi oleh anak muda hari ini dan akhirnya mengaturkan menteri mudanya seperti Khairy memberi harapan palsu melalui janji manis yang memerlukan penyelesaian kini dan bukan 2050.

Kebebasan bersuara anak muda

Menyedari bahawa Wawasan 2020 tidak mampu dicapai, maka kerajaan menjanjikan bulan dan bintang TN50 pada tahun 2050 pula. Kalau yang di hadapan mata dan sepatutnya hanya tinggal 3 tahun lagi sepatutnya dicapai, apakah kemungkinan sesuatu 33 tahun lagi boleh di nikmati?

Kerajaan mengharapkan Khairy menawarkan gula-gula kepada anak muda seolah-olah mereka masih di tadika. Ini adalah satu penghinaan kepada generasi muda yang celik maklumat dan cerdik hari ini. Generasi ‘Y’ hari ini tidak mudah diperdayakan walaupun mereka berdiam diri dan memendam rasa di hati.

Bukti suara anak muda ingin disenyapkan terbukti dengan tangkapan begitu ramai mahasiswa serta anak muda seperti anak muda Nur Syafiqa Hazira, yang dipenjarakan diatas alasan yang remeh. Hukuman terkini di peringkat Mahkamah Rayuan ke atas aktivis Adam Adli, CheGu Bard dan Safwan Anang. Termasuk juga mereka yang giat diperingkat kampus juga diambil tindakan dalam penganjuran aktiviti yang tidak bercanggah dengan perlembagaan seperti anak muda Anis Syafiqah, Mukmin Nantang, Fahmi Zainol, Khairol Najib dan lain-lain, kesemuanya wira anak muda yang cuba dilenyapkan suaranya.

Ada yang didakwa, ditangkap, digantung pengajian atau biasiswa dengan tujuan untuk mematahkan semangat juang mereka. Inilah harapan serta janji masa depan kerajaan BN melalui Khairy kepada anak muda – masa depan yang kelam dan kabur.

Generasi muda penghutang

Sebelum mempunyai pekerjaan pertama mereka, anak muda telah dibebani hutang pengajian mereka bersama dengan kos sara hidup yang melangit terutamanya di bandar besar. Anak-anak peneroka FELDA dan Nelayan tidak tahu untuk ke mana- di desa mereka terus merana, di bandar mereka merempat di kaki lima! Anak muda FELDA belum tahu penyelesaian hutang RM140,000 peneroka dan masalah perumahan generasi kedua di negeri Perdana Menteri sendiri. Anak nelayan antara keluarga termiskin dengan pendapatan RM400 di Terengganu yang dikenali umum sebagai bumi minyak bertuah “Kuwait Malaysia”.

Janji TN50 kerajaan untuk tahun 2050 terlalu jauh untuk mereka merenung dalam kesempitan hidup kekangan kemiskinan hidup harian mereka. Ke mana perginya kekayaan negara hasil 40 tahun pengeluaran minyak dan gas setelah 60 tahun merdeka?

Justeru, kalau Khairy benar benar tidak mahu generasi muda warisi beban kos hidup pada tahun 2050, beliau mestilah bantu mereka mengatasi masalah semasa seperti turunkan kadar penganguran anak muda hari ini yang tinggi pada dari 10.7%, naikkan median gaji menengah dari rm 1,600, mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, mengurangkan kadar 70% rakyat Malaysia yang tidak mampu memiliki rumah hari ini, dan mengatasi masalah penghijrahan 72% rakyat berpindah keluar negara atau ‘brain drain’ kerana mencari peluang perkerjaan yang lebih baik.

Mampukah kita mencari barisan pemimpin muda untuk menyelesaikan segala masalah Negara apabila pemimpin muda berkaliber hari ini saperti Rafizi Ramli menunggu waktu untuk dipenjarakan dan batal kelayakan menjadi wakil rakyat. Adam Adli, Che Gu Bard dan Safwan Anang tiga tokoh anak muda yang didenda RM6,000 hari ini juga akan batal kelayakan bertanding pilihan raya. Beberapa lagi pemimpin anak muda menanti masa untuk dikenakan tindakan dan hukuman.

Di manakah anak muda yang akan memimpin generasi akan datang kearah pencapaian TN50? Sikap kerajaan hari ini tidak menunjukkan kesungguhan politik atau political will, untuk membenarkan pemimpin muda berkebolehan, berintegriti dengan visi yang baik membawa Negara kearah kecemerlangan seperti yang di harapkan oleh anak muda hari ini.

Masa depan Malaysia adalah pada hari ini, perubahan dan tindakan demi masa depan yang lebih cerah adalah bermula pada hari ini dan rakyat seluruhnya perlu bersama dalam membuat perubahan besar dalam negara demi masa depan yang lebih cerah.

TAGS