TN50: Najib perlu berani terima kritikan, jangan hanya dengar penyokong

TN50: Najib perlu berani terima kritikan, jangan hanya dengar penyokong

Aktivis mahasiswa mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengambil kira pandangan segenap lapisan masyarakat dalam pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Penuntut Universiti Malaya (UM), Anis Syafiqah Md Yusof berkata, Najib sebelum ini memberitahu bersedia untuk mendengar pandangan segenap lapisan rakyat.

“Perlu kita ingat jika TN50 benar-benar mahu dilaksanakan secara matang, kerajaan harus mendengar kritikan daripada semua pihak termasuk yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan,” ujarnya malam tadi.

Beliau juga mempersoal tindakan hanya mengehadkan 500 belia terpilih dalam Dialog Perdana TN50 di Dewan Tunku Canselor, kampus itu malam tadi.

“Mengapa diadakan secara tertutup dan undangan secara selektif oleh kerajaan?

“Adakah itu suara yang mahu didengar oleh pihak kerajaan?

“Jika  Perdana Menteri mahu benar-benar mendengar suara rakyat, kenapa benarkan hanya seorang pelajar UM iaitu Yang Dipertua MPP (Majlis Perwakilan Mahasiswa) yang prokerajaan?” soalnya lagi.

Anis dan kira-kira 10 penuntut lain berkumpul di pintu gerbang UM dengan menyalakan lilin sebagai simbol menuntut pertuduhan dikenakan ke atas aktivis mahasiswa yang menyertai himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (#TangkapMO1) dan Bersih 5 dibatalkan.

Beliau  juga salah seorang daripada empat penuntut UM yang dikenakan tindakan tatatertib kerana menyertai himpunan Bersih 5 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Anis menegaskan himpunan Bersih 5 tidak melanggar undang-undang tetapi pihak universiti sewenang-wenangnya mendakwa penglibatan mahasiswa adalah perhimpunan haram.

“Sedangkan tiada tindakan yang diambil oleh pihak mahkamah dan polis. Perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia seperti termaktub dalam perlembagaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Najib bahawa universiti adalah tempat mahasiswa untuk bersuara.

“Pelajar dihukum hanya kerana bersuara perkara yang bertentangan dengan kehendak kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu, belia yang terpilih untuk menyertai dialog itu dilapor terdiri daripada pelbagai latar belakang yang dikatakan mewakili segmen komuniti generasi muda negara ini.

Mereka yang terpilih itu berpeluang menyatakan cadangan, pandangan dan idea bagaimana hendak memeta TN50 kepada sekretariat gagasan baharu itu.

TAGS