Malaysia Dateline

TNB beri pulangan besar kepada rakyat

Dari segi sejarah dan tradisi, Tenaga Nasional Bhd (TNB) amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia kerana bagi tempoh hampir 70 tahun ‘menyalurkan tenaga kepada negara’, sekali gus mewarnai  dan mempengaruhi kehidupan mereka.

TNB membantu menerangi rumah dan tempat kerja, menyalurkan tenaga kepada kilang dan industri, memacu kemajuan dan menawarkan pelbagai peluang dan mengagihkan kekayaan.

Pendek kata, bagi tempoh selama  hampir tujuh dekad, TNB telah memperkasakan rakyat dan mentransformasi negara.

Walaupun mungkin ramai yang mengambil mudah akan peranan TNB, ia telah menjalankan tugasnya kepada negara dengan penuh dedikasi di samping berkongsi sebahagian kejayaan dan keuntungan dijananya dengan rakyat menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat dan dividen.

TNB telah memberi kembali kepada negara menerusi sokongan dan sumbangan besarnya kepada masyarakat, antara lain, pelaburan dalam pendidikan seperti penyediaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.

Bayaran dividen tinggi olehnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur institusi tetapi juga rakyat biasa yang telah menyumbang menerusi caruman daripada pendapatan yang diraih menerusi kerja keras mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pendeposit Tabung Haji, kebanyakannya penduduk luar bandar.

Menjejaki rekod bayaran dividen oleh TNB bagi 16 bulan berakhir 31 Dis, 2017, syarikat itu telah membayar RM4.7 bilion kepada pemegang saham, yang merupakan antara bayaran dividen tertinggi oleh sebuah daripada syarikat senaraian utama Malaysia.

Di samping memberi manfaat secara langsung kepada pemegang saham, bayaran dividen tinggi ini turut memberikan kesan berganda kepada pelabur institusi seperti KWSP,  Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan syarikat unit amanah lain yang telah turut menyalurkan pulangan tinggi kepada pemegang akaun mereka.

Bayaran dividen tinggi oleh TNB telah membolehkan KWSP atau dana persaraan pekerja negara ini memberi manfaat kepada hampir 14 juta pemegang akaun dan pada masa yang sama membantu PNB, pengurus dana unit amanah terbesar negara, untuk menyalurkan pulangan tinggi kepada kira-kira 13.2 juta akaun.

KWAP, dengan kira-kira  660,000 pesara dalam senarainya dan Tabung Haji, dengan lebih sembilan juta pendeposit, turut mendapat manfaat daripada dasar dividen TNB.

Akhirnya, rakyat yang mendapat banyak faedah daripada keprihatinan TNB.

Keupayaan untuk memperuntukkan sejumlah besar bagi bayaran dividen bukan sekadar bergantung pada kedudukannya sebagai penyedia bekalan elektrik utama Malaysia bagi tempoh hampir 70 tahun, tetapi juga menerusi kerja keras tenaga kerjanya dan pandangan jauh pengurusannya untuk memastikan kemampanan pertumbuhan kukuh TNB, dari segi operasi dan kewangan.

Beberapa tahun lepas telah menyaksikan perbadanan utiliti negara ini melakukan penambahbaikan untuk kekal dalam trajektori pertumbuhan dalam perniagaan kawal selia penyaluran dan pengagihan bekalan elektrik, yang telah menyumbang kepada aliran pendapatan stabil di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif  (IBR).

Untuk jangka panjang, TNB tidak akan bergantung sepenuhnya pada perniagaan kawal selianya untuk survival tetapi perlu mencari sumber baharu bagi pertumbuhan, baik dari segi produk mahupun pasaran.

Penganalisis daripada beberapa firma penyelidikan mengekalkan prospek positif bagi  TNB disebalik langkahnya beralih kepada bidang perniagaan baharu.

“Menerusi perniagaan bukan kawal selia kami, kami akan terus menerokai bidang baharu untuk mendapatkan nilai lebih baik, yang akan dapat menampung syarikat untuk tahun-tahun akan datang,” kata presiden/ketua pegawai eksekutif TNB kepada para pemegang sahamnya dalam satu daripada laporan tahunan syarikat itu sebelum ini.

Di dalam negara, TNB kini beroperasi dalam persekitaran lebih mencabar, di tengah-tengah pertumbuhan jualan elektrik yang sederhana, berikutan penggunaan elektrik negara, yang sebelum ini sebanyak 1.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), telah semakin menyusut sejak Malaysia secara beransur-ansur beralih keluar daripada negara perindustrian sepenuhnya.

Di bawah IBR, program kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan meliberalisasikan industri tenaga, pulangan ke atas dua perniagaan teras TNB iaitu pengagihan dan penyaluran elektrik telah dikawal selia dan skalanya terus menyusut.

TNB dibenarkan menjana 7.3 peratus pendapatan daripada asetnya yang dikawal selia dari 2018 hingga 2020, susut daripada 7.5 peratus dibenarkan bagi tempoh 2015-2017.

Untuk rekod, pelaksanaan IBR telah diamalkan di peringkat global untuk memberi insentif kepada syarikat utiliti kuasa bagi meningkatkan kecekapan mereka, mewujudkan kestabilan dalam industri bekalan elektrik, meningkatkan ketelusan dan menawarkan tarif pada harga kompetitif.

Disebalik pulangan lebih rendah yang dibenarkan daripada asetnya dan berpotensi mengalami pertumbuhan jualan lebih perlahan, TNB kekal komited dalam “menyalurkan tenaga kepada negara” dengan memperuntukkan RM18.8 bilion untuk perbelanjaan modal bagi grid penyaluran dan pengagihannya untuk 2018 hingga 2020 berbanding RM15.08 bilion bagi 2015 hingga 2017.

Dua tempoh masa ditetapkan bagi pelaksanaan IBR itu juga akan membolehkan TNB untuk mendepani dengan jayanya pelbagai cabaran dalam industri itu.

Berdasarkan pada perubahan landskap tenaga dan trend pelanggan baharu,  TNB melaksanakan pelan strategik 10 tahun pada 2016 dikenali sebagai “Reimagining TNB” dalam usaha mentransformasinya menjadi satu daripada sepuluh utiliti terbaik dunia menjelang 2025.

Pelan TNB itu menggariskan untuk melaksanakan tranformasi kumpulan secara meluas bagi mengekalkan peranan TNB sebagai peneraju dalam pasaran rumah serta memperluas kehadirannya di peringkat global.

Bagi menjayakan itu, TNB telah memperoleh pegangan ekuiti dalam entiti berkaitan kuasa di India, Turki dan United Kingdom, menjalankan perniagaan yang akan meletakkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga diperbaharui  di ASEAN menerusi penawaran pelbagai produk dan perkhidmatan yang mampu memenuhi kehendak pelanggan dari segi  penjanaan tenaga bersih, teknologi rumah pintar dan keefisienan tenaga.

Boleh dirumuskan bahawa dengan pelan strategik berfikiran jauh, keupayaan untuk mendepani permintaan sukar dalam regim IBR dan bayaran dividen tinggi, membuktikan kewibawaan dan kebolehan TNB sebagai utiliti kuasa yang dinamik.

— BERNAMA