TNB catat untung lebih rendah sebanyak RM501 juta pada Q3

TNB catat untung lebih rendah sebanyak RM501 juta pada Q3

Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM501 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept 2018 berbanding RM1.24 bilion pada suku sebelumnya.

Penurunan sebanyak RM736.3 juta atau 59.5 peratus, walaupun hasil meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM13.07 bilion itu disebabkan kenaikan perbelanjaan operasi dan kerugian yang lebih tinggi dalam saham syarikat bersekutu pada suku tahun yang dikaji, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Disebabkan perubahan dalam tahun kewangan daripada akhir Ogos kepada akhir Disember, prestasi suku terakhir tidak boleh dibandingkan dengan tempoh perbandingan sebelumnya yang dilaporkan.

Mengenai prospek, TNB berkata, prestasi kumpulan itu dijangka kekal positif bagi tahun berakhir 31 Dis 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata, untuk FY18, kumpulan itu mencatat pencapaian cemerlang dalam Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) sebanyak 8.1, yang berada dalam sukuan tertinggi dalam industri tersebut.

“Kami juga telah mencatat prestasi teknikal yang hebat, dengan sistem penghantaran minit 0.3 minit, mengukur jumlah sistem bekalan elektrik terputus yang bersamaan untuk Semenanjung Malaysia. Mengenai pengagihan, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem TNB, atau SAIDI, yang mengukur tempoh purata gangguan kuasa yang dialami oleh pelanggan dalam setahun, kekal stabil pada 35.3 minit.

“Dengan mengekalkan pencapaian kami dalam sistem penghantaran minit di bawah dua minit sejak tahun kewangan 2009, dan pengagihan SAIDI dalam masa 50 hingga 60 minit sejak tahun kewangan 2014, prestasi teknikal kami secara konsisten setanding dengan negara maju seperti Perancis dan United Kingdom,” katanya.

— BERNAMA

Loading...