Malaysia Dateline

TNB: Kabel dasar laut 26.5 km perkukuh bekalan elektrik di Pulau Langkawi

Sistem elektrik di Pulau Langkawi yang kini dikawal sepenuhnya secara automasi, akan dipertingkatkan lagi menerusi kabel dasar laut sepanjang 26.5 kilometer yang menyalurkan tenaga dari Grid Nasional ke pulau peranginan itu.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Husaini Husin berkata usaha merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara.

“Kerja merentang kabel dasar laut yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau di Pulau Langkawi bermula Oktober lalu dan dijangka siap hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perentangan kabel tersebut dijangka dapat membantu persiapan Pulau Langkawi untuk menerima kira-kira empat juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, selain menjadi satu daripada lokasi mesyuarat Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

“Projek berkenaan dapat mengukuhkan daya harap, kualiti, kestabilan dan kecekapan pembekalan elektrik ke Pulau Langkawi yang ketika ini mendapat bekalan dari Grid Nasional menerusi dua lagi kabel dasar laut sedia ada,” katanya.

Kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini, iaitu cross-linked polyethylene berbanding oil-filled cable yang digunakan sebelum ini, katanya.– BERNAMA