Malaysia Dateline

TNB sasar tanam 10,000 anak pokok bakau di persisiran pantai

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bercadang untuk menanam lebih 10,000 anak pokok bakau di sepanjang persisiran pantai Semenanjung Malaysia pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Grid, TNB Datuk Ir. Husaini Husin berkata usaha itu adalah bagi memastikan kelestarian ekosistem dan ini membuktikan bahawa komitmen TNB terhadap usaha memelihara alam sekitar sebagai warisan generasi masa hadapan.

“Usaha ini bukan inisiatif pertama TNB kerana pihak kami sebelum ini telah menanam sebanyak 9,000 anak pokok bakau di Manjung, Perak,” katanya kepada pemberita selepas program Penanaman Pokok-Pokok Bakau di Persisiran Pantai di Hutan Simpan Pulau Ketam hari ini.

Beliau berkata program itu dilakukan oleh pihak TNB selepas menyedari peranan penting pokok bakau dalam memperkukuh dan memperkayakan sumber nutrien tanah yang penting untuk ekosistem.

Katanya, selain penanaman anak pokok bakau, TNB turut menanam lebih 12,000 anak pokok rimbun menerusi program ‘Tree For Tree’ di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Program tanaman pokok termasuk di bawah tiga tiang utama tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB iaitu alam sekitar, pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 1,000 anak pokok bakau jenis bakau kurap dan bakau minyak ditanam di Hutan Simpan Pulau Ketam seluas satu hektar.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Perlis dan kerajaan negeri Perlis dengan penyertaan lebih 150 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

— BERNAMA