Malaysia Dateline

Tok Guru fokus pada matlamat tanpa ada ‘team’

Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak mempunyai kepentingan peribadi sehingga membuat ‘team’ sama ada dalam berdakwah dan berpolitik.

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, ayahnya yang umum dipanggil sebagai Tok Guru itu menyifatkan semua orang adalah pasukannya.

“Mana betul, dia sokong dan doakan. Yang dia tidak setuju, dia nyatakan secara jelas walaupun orang yang rapat dengan dia sekali pun.

“Orang yang tidak ada team, dia boleh fokus pada matlamat yang dikehendakinya.

“Dia kata dan dia kota sebenarnya. Ramai orang yang kata tetapi tidak kota,” katanya dalam slot Tok Guru yang Kami Kenal: Pengalaman Kerohanian secara langsung menerusi Facebook AWAN Nasional malam tadi.

Turut menjadi ahli panel dalam bual bicara dimoderatorkan Dr. Khadijah Ismail itu ialah penulis buku Tok Guru: Sebuah Catatan Spiritual, Habibul Izzah Ahmad.

Ustaz Nik Omar menambah orang yang cuba membina ‘team’ lazimnya hanya membazirkan masa.

Jelasnya lagi, individu yang membina puak juga membazirkan sumber yang ada pada seseorang kerana tidak dapat digunakan atas faktor kepentingan peribadi.

“Sebaliknya, hal ini tidak ada pada Tok Guru sama ada dalam berdakwah dan berpolitik,” ujarnya.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu juga menyifatkan tumpuan Tok Guru sepanjang hayatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun itu.

“Tok Guru fokus untuk sebarkan ilmu dan dakwah selepas dia menuntut di India, Pakistan dan Mesir,” katanya lagi.