Tok Lebai kalah tersungkur: Pemuda Pas kecam Azmin

Tok Lebai kalah tersungkur: Pemuda Pas kecam Azmin

Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang  mengecam tindakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang mengeluarkan kenyataan sinis terhadap kekalahan Ketua Dewan Pemuda Pas Nik Muhammad Abduh Nik Aziz dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Hanafi ZulkapliDewan Pemuda PAS Kawasan Subang  mengecam tindakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang mengeluarkan kenyataan sinis terhadap kekalahan Ketua Dewan Pemuda Pas Nik Muhammad Abduh Nik Aziz dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini.

“Pemuda Subang melihat kenyataan YB Azmin ini sebagai satu gaya pemikiran yang senteng kerana pemilihan jawatan dalaman PAS di peringkat kawasan-kawasan adalah urusan meyusun gerak atur pergerakan PAS di peringkat akar umbi dan sama sekali tidak absah jika ingin dinisbahkan kepada gerak kerja Pilihanraya,” ujar Ketua Pemudanya Hanafi Zulkapli.

Semalam Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dilaporkan berkata, PKR tidak campurtangan dalam urusan dalaman PAS. Azmin dilapor turut menyindir seorang “tok lebai misteri” tanpa menamakan secara langsung individu disebutkan itu kononnya bercita-cita untuk menawan Selangor.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” ujar Azmin seperti dipetik.

Hanapi berkata, Pemuda Subang ingin mengingatkan menteri besar itu kerusi yang disandangnya itu adalah ihsan PAS bukan daripada PKR.

“Bahawasanya keberadaan YB Azmin di kerusi Menteri Besar Selangor adalah hasil daripada ihsan PAS, bukan daripada parti YB sendiri dan kemenangan YB Azmin di Parlimen Gombak juga adalah hasil daripada kekuatan gerak kerja daripada jentera-jentera PAS yang ramai dan sanggup bekerja atas arahan pimpinan.

“YB Azmin perlu menyedari hakikat bahawasanya PAS mempunyai kekuatan yang ampuh di peringkat akar umbi,” tegasnya.

Justeru beliau berkata kenyataan sinis Azmin itu seolah-olah menjerut leher sendiri tatkala beliau menyedari hakikat bahawa PKR tidak ada kekuatan jentera di mana-mana kawasan sekalipun.

Justeru, Pemuda Subang ujarnya, ingin menyeru kepada semua perwakilan PAS di Muktamar Kawasan masing-masing agar usul memutuskan hubungan politik antara PAS dan PKR mendapat sokongan seluruh perwakilan yang ada.

“Di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang, kami dengan segala kekuatan jentera yang ada bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Subang, Kota Damansara dan Paya Jaras pada PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang sekali lagi bertegas akan terus konsisten meyambut seruan YB Nik Muhammad Abduh untuk menawan Selangor sekaligus menunjukkan pintu keluar kepada YB Azmin daripada pejabat Menteri Besar dan menyingkirkan YB Azmin daripada kerusi Parlimen Gombak,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor turut menegur kenyataan sinis dikeluarkan oleh Azmin itu dengan nada yang agak keras.

Menerusi kenyataan Ahmad Dusuki Abdul Rani di laman facebooknya itu menyatakan:” Hina sanggatkah menjadi ‘tok lebai’ dikalangan mata manusia ini sehingga nafas dan dada menjadi sesak dengan keberadaan mereka?

“Perlukah mewajibkan diri menghina para alim ulama setelah kita menjadi pemimpin sekejap ini?

” Tidakkah istilah lebai dan warak ini menjadi kewajiban bagi mereka yang mengetahui kematian akan dilalui di hadapan mereka?

“Kita tunggu saat kematian orang yang menghina para alim ulama ini. Pastilah mayat mereka ‘membusuk’ dengan keegoan diri itu.

“Tok lebai ini walaupun ia tidak menjadi menjadi menteri besar mahupun perdana menteri namun mereka mempunyai senjata yang ampuh melalui doanya. Tunggulah saat tersungkur dan tersembam itu,” seperti dipetik.

TAGS