Malaysia Dateline

Tok Mat akui ramai pengundi baru sukar jangka kemenangan BN

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan mengakui sukar untuk menjangkakan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Menurutnya, hal itu disebabkan kewujudan 756,000 pemilih baru meskipun beliau yakin BN boleh melepasi majoriti mudah.

“Susah untuk saya membuat anggaran untuk sementara waktu. Bukan sebab banyak parti (yang bertanding) tetapi adalah disebabkan oleh pengundi yang didaftarkan secara automatik.

“Ramai jumlahnya. Satu DUN sekurang-kurangnya ada 6,000 ke 7,000 pengundi, tetapi satu tempat (lain) bertambah 20,000 hingga 30,000 dan ada yang sehingga 40,000 pengundi,” katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang dikenali Tok Mat dipetik berkata demikian dalam wawancara Mingguan Malaysia semalam.

“Jadi, sukar untuk kita hendak buat anggaran (untuk menang kerusi DUN) berdasarkan kepada pengundi yang kita tidak pernah kaji sikapnya.

“Ini menyukarkan kita dan membuat kita berhati-hati dalam membuat anggaran,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor dengan Umno bertanding di 37 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi.