Malaysia Dateline

Tok Mat nafi Umno keluar PN

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra dipanggil Tok Mat menafikan dakwaan kononnya parti itu membuat keputusan untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu menyifatkan khabar angin tersebut sebagai fitnah yang bertujuan mencemari imej Umno.

“Semalam tak ada mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) pun, saya dan keluarga ada di kampung Rantau.

“Ini semua fitnah yang tak sudah-sudah nak memburukkan pemimpin Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan kononnya keputusan keluar PN itu ekoran Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tok Mat tidak diberikan jawatan Kabinet dalam kerajaan PN sekali gus tidak dapat diterima dan seolah-olah menghina akar umbi Umno.

Pada 10 Jun lalu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan mengakui parti itu masih belum lagi bersetuju untuk menjadi sebagai parti komponen kepada PN tetapi yakin hal tersebut akan diselesaikan.

Shahril yakin akan ada formula untuk menyelesaikannya sebagai mekanisme akhir sebelum PRU15.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik meramalkan Umno berdepan laluan sukar dalam PRU15 apabila menolak pendaftaran PN sebagai badan formal.

Reaksi Maszlee ekoran beberapa siri kenyataan daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno yang menolak pendaftaran PN sebagai badan formal termasuk kenyataan daripada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini.