Tok Mat puji SPR menambah baik PDM

Tok Mat puji SPR menambah baik PDM

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, memuji tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menambah baik kemudahan mengundi di saluran satu dan dua, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Chung Hua.

Berdasarkan pemerhatian, Mohamad memberitahu, SPR telah mengubah kedudukan mengundi saluran satu dan dua berdekatan dengan pintu pagar utama sekolah berkenaan.

Tok Mat bertemu pengundi Nor Izati Abd Ghani 30 tahun bersama anak kembar Nor Falisha Adilia, Nor Farisha Adina 2 bulan membuang undi di SRJK Tamil Rantau

“Dulu dua saluran itu terletak di sebelah atas, orang tua-tua yang menaiki kerusi roda kena tolak naik atas bukit untuk mengundi..

“Tapi hari ini, hasil maklum balas yang kita minta sebelum ini, saya dapati penambah baikan telah dilakukan.

“Tadi, proses pengundian dijalankan di dalam dewan, ada kerusi.. amat selesa sekali.. orang tua-tua pun tak perlu berdiri tengah panas,” katanya ketika ditemui pemberita, di SJKT Rantau, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat membuang undi di SJKC Chung Hua yang terletak kira-kira tiga kilometer dari SJKT Rantau.

Tok Mat hadir ke SJKT Rantau untuk bertemu pengundi Dun Rantau dan beramah mesra dengan mereka.

Dalam pada itu, Tok Mat menyifatkan PRK kali ini berjalan dengan baik melibatkan gerak kerja dan juga sokongan parti.

“Parti sebelah sana pun OK walaupun mereka banyak hentam saya, tetapi saya terima semua itu sebagai sebahagian daripada lumrah pilihan raya,” katanya.

Untuk rekod, seramai 2,158 pengundi berdaftar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) SJKT Rantau, yang merupakan ketiga tertinggi daripada 14 saluran mengundi yang beroperasi pada PRK Rantau kali ini.