Tok Mat yakin akan kekal di Rantau

Tok Mat yakin akan kekal di Rantau

Setelah berkempen selama 14 hari, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yakin BN akan dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau.

Mohamad berkata, setiap orang yang memasuki pertandingan, mesti yakin akan memenanginya.

“Saya lihat jentera bekerja keras dan gerak kerja begitu tersusun dan teratur sejak dua minggu tempoh berkempen.

“Saya juga yakin pengundi akan keluar seramai mungkin esok dan pada masa itu akan memberi kemenangan kepada parti BN insyaAllah,” katanya selepas menghadiri Munajat Perdana, di Kampung Kanchong, Rantau malam ini.

Turut hadir bekas Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Munajat Perdana itu diadakan bertujuan memohon semoga kemenangan berpihak kepada parti BN dalam PRK Rantau esok.

Ketika ditanya wartawan jika menang majoriti besar atau kurang pada hari pengundian esok, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyifatkan kemenangan tetap kemenangan.

“10-0 atau 1-0 janji menang,” katanya sambil tersenyum.

Mohamad Hasan bersama pimpinan Umno  dan pengundi hadir dalam program Munajat Perdana  yang diadakan di Kampong Kancong  pada pusingan akhir kempen malam ini.